Ringgit diunjur kekal kukuh dipacu aliran masuk modal asing

Ringgit diunjur kekal kukuh dipacu aliran masuk modal asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ringgit diunjur terus mengukuh pada 2026, didorong aliran masuk modal asing yang kukuh serta keyakinan pelabur terhadap asas ekonomi negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, perkembangan geopolitik global, termasuk krisis di Venezuela yang mengekalkan harga minyak tinggi melebihi AS$56 setong, menonjolkan kepentingan keselamatan tenaga dan turut menyumbang kepada sentimen positif terhadap mata wang tempatan.

“Pada peringkat awal, kami menyasarkan ringgit berada pada paras RM4.05 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk 2026.

“Namun prestasi semasa menunjukkan ringgit kekal kukuh, mencerminkan asas ekonomi Malaysia yang mantap,” katanya pada Majlis Gala Ulang Tahun ke-50 AFFIN dan Jamuan Makan Malam Tahun Baharu Cina 2026.

Menurut beliau, sepanjang tempoh setahun lalu, ringgit juga muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia Tenggara.

“Ia satu petanda jelas bahawa pasaran telah memupuk keyakinan terhadap kestabilan ekonomi negara di tengah-tengah ketidaktentuan global.

“Momentum tersebut disokong oleh aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang berterusan serta pelaksanaan langkah-langkah fiskal yang lebih tersusun, memberi asas yang kukuh kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” ujarnya.

Mengulas prospek pasaran saham tempatan, beliau berkata, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) dijangka meningkat kepada 1,780 mata pada 2026, berbanding 1,680 mata pada 2025, selari dengan pengukuhan asas makroekonomi negara dan sokongan aliran modal.

“Prestasi ini dijangka turut mengatasi Indeks MSCI ex-Japan, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek pasaran modal Malaysia.

“Saya yakin gabungan faktor global dan domestik tersebut akan terus memperkukuh kedudukan ringgit serta menarik minat pelabur jangka panjang, sekaligus menyumbang kepada prestasi pasaran kewangan yang lebih stabil dan kondusif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN