Ringgit dijangka kekal RM4 hingga RM4.10 menjelang akhir Oktober - Utusan Malaysia

Ringgit dijangka kekal RM4 hingga RM4.10 menjelang akhir Oktober

SEORANG pengurup wang mengira wang kertas ringgit Malaysia sementara pelanggan menunggu di kiosk pengurup wang di Kuala Lumpur. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka kekal dalam jajaran RM4 hingga RM4.10 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir Oktober, disokong asas ekonomi Malaysia yang kukuh meskipun berdepan pengukuhan dolar AS dalam tempoh terdekat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, ringgit dijangka bergerak dalam julat RM4.05 hingga RM4.12 minggu ini dan RM4 hingga RM4.15 bagi tempoh empat minggu akan datang.

“Pergerakan ringgit dijangka lebih mendatar dengan kecenderungan mengukuh sedikit, namun pengukuhan lebih ketara bergantung kepada pergerakan dolar AS dan aliran modal asing.

“Paras RM4 merupakan paras psikologi penting, namun untuk menembusi angka itu dengan kukuh memerlukan dolar AS yang benar-benar lemah atau aliran modal asing yang lebih besar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, mata wang tempatan masih berada dalam keadaan kukuh secara relatif setakat 6 Oktober 2026, namun momentum pengukuhannya berdepan beberapa halangan dalam tempoh terdekat.

Katanya, kadar pertukaran dolar AS sekitar RM4.0830 hingga RM4.0875 bagi tempoh 2 hingga 5 Oktober menunjukkan ringgit bukan dalam keadaan lemah.

“Sebaliknya, ringgit telah mencatat pemulihan ketara jika dibandingkan dengan tempoh kelemahan besar yang dialami sebelum ini.

“Terdapat lima faktor utama yang menyokong kekuatan ringgit ketika ini, antaranya asas ekonomi Malaysia yang semakin baik.

“Ekonomi berkembang 5.7 peratus pada separuh pertama 2026, manakala Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan pertumbuhan sekitar 5 peratus bagi keseluruhan 2026.

“Eksport elektrik dan elektronik (E&E), teknologi, pelaburan serta pelancongan menjadi antara faktor yang menyokong pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Barjoyai Bardai berkata, kedudukan Malaysia sebagai pengeksport tenaga bersih secara bersih turut memberi kelebihan ketika harga minyak berada pada paras tinggi.

“Negara seperti Thailand, India dan Indonesia yang lebih bergantung kepada import minyak berdepan tekanan mata wang yang lebih besar, manakala Malaysia mendapat sedikit manfaat daripada kenaikan harga tenaga.

“Eksport teknologi dan kecerdasan buatan (AI) juga semakin penting kerana Malaysia berada dalam rantaian E&E, semikonduktor dan pusat data.

“Keadaan ini menghasilkan aliran eksport dan pelaburan yang menyokong permintaan terhadap ringgit,” ujarnya.

Pada masa sama, dasar monetari Malaysia turut memberi sokongan kepada ringgit dengan kadar dasar semalaman (OPR) berada pada 2.75 peratus.

Beliau berkata, BNM tidak tergesa-gesa untuk melonggarkan dasar monetari memandangkan ekonomi masih berkembang kukuh, selain tekanan inflasi perlu terus dipantau.

“Yang paling penting, sebahagian daripada kekuatan ringgit ketika ini adalah hasil penilaian semula (re-rating) terhadap Malaysia.

“Pelabur antarabangsa kini melihat Malaysia sebagai ekonomi yang lebih stabil berbanding beberapa tahun lalu, khususnya dari segi fiskal, pelaburan asing, E&E dan tenaga,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan ringgit belum mampu mengukuh sehingga RM3.80 berbanding dolar AS.

Katanya, dolar AS kini kembali mengukuh selepas meningkat lebih tiga peratus sejak awal September, didorong ketegangan geopolitik, inflasi serta hasil bon AS yang tinggi.

“Selain itu, harga minyak yang tinggi menyebabkan inflasi global dan hasil bon meningkat, sekali gus menjadikan pelabur lebih berhati-hati terhadap mata wang pasaran sedang pesat membangun.

“Ringgit juga berdepan cabaran daripada dolar Singapura (SGD) yang menjadi penanda aras lebih sukar, dengan BNM meletakkan SGD sekitar RM3.1935 pada 5 Oktober,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN