Kes pelajar maut: Keluarga rayu pemandu bas segera didakwa

Kes pelajar maut: Keluarga rayu pemandu bas segera didakwa

RSN Rayer (dua dari kanan) bersama ibu bapa kepada seorang remaja yang maut dalam kemalangan pada 13 November tahun lepas iaitu Lee Chin Ho (kiri) dan Marcia Lau Cheng Li (dua dari kiri) pada sidang akhbar di George Town, Pulau Pinang, hari ini. - UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Keluarga kepada seorang pelajar, Jason Lee Jia Chen, yang maut dalam kemalangan jalan raya pada 13 November lalu, hari ini merayu Jabatan Peguam Negara dan pihak polis agar menyegerakan pendakwaan terhadap pemandu bas yang terlibat dalam nahas berkenaan.

Peguam mereka, RSN Rayer berkata, keluarga mangsa telah menunggu terlalu lama untuk mendapatkan keadilan dan berharap semoga tindakan undang-undang dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Keluarga mendiang Jason merasakan tempoh siasatan yang terlalu lama adalah tidak adil kepada mereka. Jadi, kami merayu supaya siasatan disegerakan dan tindakan sewajarnya diambil di mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri oleh ibu bapa mangsa iaitu Lee Chin Ho dan Marcia Lau Cheng Li.

Jason Lee yang juga seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah bas di jejambat Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, dalam kejadian pada 13 November itu.

Sementara itu, Rayer yang juga Ahli Parlimen Jelutong berkata, pihaknya juga telah berusaha mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara dan pihak polis berhubung perkembangan siasatan serta tindakan lanjut terhadap pemandu bas terbabit.

“Berdasarkan pertanyaan ibu mangsa kepada pihak polis, kita dimaklumkan bahawa pihak berkuasa masih menunggu beberapa laporan termasuk daripada Jabatan Kimia serta perlu menunggu dokumen sokongan lain bagi melengkapkan siasatan.

“Namun, pada pandangan saya sebagai peguam, terdapat rakaman CCTV (kamera litar tertutup) yang dipercayai menunjukkan bagaimana kemalangan itu berlaku. Jadi, pertuduhan boleh difailkan terlebih dahulu terhadap individu berkenaan di mahkamah, manakala dokumen tambahan boleh diperoleh dan dikemukakan kemudian mengikut proses perundangan,” katanya.

Katanya, sekiranya pertuduhan dibuat, mahkamah juga boleh mengarahkan lesen pemandu tersebut digantung serta-merta kerana ia penting memandangkan pemandu terbabit masih memandu kenderaan berat di jalan raya dan terdapat risiko kejadian sama berulang jika tindakan segera tidak diambil.

Rayer berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan kes termasuk menghantar surat rasmi kepada pihak berkaitan bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.

“Biarlah mahkamah menentukan sama ada individu terlibat bersalah atau tidak, tetapi proses perundangan mesti dilaksanakan dengan segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN