Kerajaan tegas banteras dadah

Kerajaan tegas banteras dadah

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan terus bertindak tegas dan tanpa kompromi melalui pendekatan berasaskan data bagi memerangi ancaman dadah di negara ini yang kini disifatkan berada pada tahap serius.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mesyuarat bersama Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) telah bersidang bagi memperkukuh penyelarasan dasar dan tindakan secara menyeluruh, merentasi pelbagai kementerian serta agensi penguatkuasaan.

Katanya, ketegasan itu disuarakan susulan rekod nilai rampasan dadah dan bahan racun sepanjang tahun 2025 yang mencecah RM3.19 bilion.

“(Ia juga) satu peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya. Jumlah tersebut melibatkan rampasan berskala besar iaitu 89 tan dadah dan 132 tan bahan racun.

“Laporan terkini turut merekodkan penglibatan seramai 191,832 individu dalam gejala tersebut.

“Angka berkenaan jelas mencerminkan skala ancaman semasa dan membuktikan bahawa isu dadah bukan lagi semata-mata isu jenayah biasa, sebaliknya merupakan satu cabaran besar terhadap keamanan dan kemakmuran negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, tindakan rakyat mestilah bersepadu, pantas dan berimpak tinggi dalam memerangi gejala yang semakin kompleks dan tidak boleh lagi ditangani secara bersendirian atau berasingan.

“Pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government) dan seluruh masyarakat (whole-of-society) mesti diterjemahkan kepada tindakan konkrit serta boleh diukur,” katanya.

Katanya, kerajaan menuntut komitmen jitu bersama institusi keluarga, komuniti, institusi pendidikan, dan sektor swasta bagi menjamin keselamatan rakyat dan melindungi masa depan generasi Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN