PETALING JAYA: Keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2025 merekodkan peningkatan positif apabila Gred Purata Kebangsaan (GPK) mencatatkan 1.83 berbanding 1.85 pada tahun 2024.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, keputusan tahun ini membuktikan peningkatan kualiti penguasaan ilmu dalam kalangan murid KAFA selepas lima tahun melalui proses pembelajaran berstruktur.
“Daripada jumlah keseluruhan 251,392 calon yang menduduki semua kertas peperiksaan, sebanyak 89.61 peratus berjaya mencapai tahap lulus keseluruhan UPKK 2025.
“Seramai 24,761 calon berjaya memperoleh keputusan cemerlang 9A, manakala 25,230 calon meraih 8A dan 18,990 calon memperoleh 7A.
“Pencapaian ini menunjukkan hampir 69,000 calon berjaya mencapai sekurang-kurangnya 7A, satu indikator jelas peningkatan kualiti pembelajaran dan bimbingan di peringkat KAFA ,” katanya dalam ucapan ketika mengumumkan keputusan UPKK 2025 di Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi (SIRAJ) Saidina Uthman Bin Affan, di sini hari ini.
Tambah Zulkifli, statistik menunjukkan jumlah calon berdaftar pada 2025 meningkat kepada 252,997 orang berbanding 240,244 pada 2024, kenaikan sebanyak 5.17 peratus.
“Daripada jumlah berdaftar itu, seramai 251,392 calon hadir menduduki peperiksaan, bersamaan 99.37 peratus kehadiran.
“Kadar ketidakhadiran pula menurun kepada hanya 0.63 peratus berbanding 1.36 peratus pada tahun lalu.
“Ini satu perkembangan positif yang mencerminkan komitmen tinggi ibu bapa dan usaha berterusan guru-guru dalam memastikan murid hadir menduduki peperiksaan,” ujarnya.
Dalam masa sama, katanya, seramai 163 calon Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) daripada pelbagai kategori turut menduduki UPKK di seluruh negara, kecuali Kelantan, Sarawak dan Pulau Pinang.
“Hari ini, empat calon MBPK masalah penglihatan diraikan sebagai jemputan istimewa dalam majlis pengumuman keputusan ini , setelah berjaya menjawab peperiksaan sepenuhnya menggunakan kaedah braille.
“Bagi menjamin keadilan kepada semua calon, MBPK yang menduduki UPKK diberikan tambahan masa 30 minit bagi setiap kertas ujian bertulis.
“Selain itu, calon rabun turut dibekalkan Kertas Peperiksaan Cetakan Besar bagi membolehkan mereka menjawab dalam keadaan lebih kondusif dan selesa,” katanya.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata pencapaian UPKK bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan pembinaan sahsiah, disiplin dan asas ilmu agama dalam kalangan generasi muda.
“Hari ini bukan hari menilai, tetapi hari memeluk anak-anak kita. Di sebalik keputusan yang diterima, ada penat lelah, air mata, doa dan harapan yang mereka simpan sepanjang tempoh pembelajaran.
“Keputusan UPKK 2025 secara keseluruhannya memperlihatkan trend peningkatan dari sudut pencapaian akademik, kadar kehadiran dan penyertaan calon, sekali gus mengukuhkan peranan pendidikan KAFA sebagai asas pembinaan ummah di negara ini,” kongsinya. – UTUSAN










