Operasi tiada kelulusan punca 80 murid gagal duduki UPKK 

Operasi tiada kelulusan punca 80 murid gagal duduki UPKK 

Dr. Sirajuddin Suhaimee
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan kegagalan 80 murid Sekolah Rendah Islam al-Afsari, Saujana Putra, Puchong menduduki Ujian Penilaian al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2025 berpunca daripada kegagalan pihak sekolah mendaftarkan mereka dalam sistem rasmi peperiksaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, semakan mendapati murid-murid terlibat tidak didaftarkan melalui Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI) iaitu platform sah bagi pendaftaran calon UPKK.

Katanya, siasatan lanjut bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mendapati sekolah tersebut turut beroperasi tanpa pendaftaran sah di bawah JAIS dan tidak mempunyai kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) sekali gus melanggar Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Selangor 1988.

“Jakim amat memahami kegusaran ibu bapa, tetapi semakan mendapati murid berkenaan tidak didaftarkan sebagai calon UPKK Tahun 2025 dalam SIMPENI.

“JAIS juga mengesahkan Sekolah Rendah Islam al-Afsari belum berdaftar dan tidak memenuhi kriteria pendaftaran sekolah agama Islam swasta di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sirajuddin berkata, pihak sekolah mengemukakan rayuan pada 15 Oktober lalu supaya murid-murid dibenarkan menduduki peperiksaan, namun Prosedur Operasi Standard (SOP) peperiksaan kebangsaan perlu dipatuhi termasuk pendaftaran awal, keselamatan peperiksaan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1942 dan keperluan nombor giliran yang dijana sistem.

Katanya, Jakim telah bertemu pihak sekolah pada 3 November lalu untuk memberi penjelasan dan menasihati agar ibu bapa memindahkan anak ke sekolah berdaftar atau mendaftarkan mereka sebagai calon menumpang.

“Pendaftaran sekolah hanya boleh diperakukan sekiranya tiga sokongan agensi berkaitan dipenuhi sebagaimana digariskan dalam Garis Panduan Pengurusan Am Pendaftaran dan tertakluk kepada Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam 1988 (Pindaan 2001).

“Pihak sekolah disarankan segera mendapatkan kelulusan daripada ketiga-tiga agensi sokongan tersebut kerana operasi tanpa pendaftaran sah adalah tidak dibenarkan.

“Pada masa sama, Jakim dan JAIS turut menasihatkan sekolah mempertimbangkan memindahkan murid terlibat ke sekolah berdaftar atau mendaftarkan mereka sebagai calon menumpang bagi tujuan peperiksaan,” katanya.

Katanya, ibu bapa diingatkan supaya memastikan sekolah anak-anak berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri bagi menjamin kelancaran urusan peperiksaan serta pengiktirafan sijil.

Beliau turut meminta orang ramai tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan institusi agama.

“Jakim memberi jaminan untuk membimbing sekolah agar mematuhi semua garis panduan dan undang-undang bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Pendaftaran rasmi bukan sahaja menjamin kelancaran peperiksaan tetapi juga kualiti pendidikan dan kebajikan murid,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN