POKOK SENA: “Saya tidak mahu kekurangan diri dijadikan alasan untuk tidak boleh cemerlang di sekolah seperti rakan lain yang normal.”
Demikian kata murid Tahun Enam, Masyitah Mohamad Tarmizi, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jabi, di sini yang membuktikan kecemerlangan meraih keputusan cemerlang 9A dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) diumumkan, baru-baru ini.
Anak tunggal dari Kuala Kedah itu berkata, kejayaan tersebut bukan datang bergolek, sebaliknya hasil usaha kerasnya tiga kali ganda berbanding murid normal lain.
“Saya mengulang kaji pelajaran berulang-ulang kali termasuk menyalin semula nota setiap subjek saya pelajari dalam kelas.
“Setiap malam sebelum tidur saya membaca nota-nota yang saya salin supaya lebih faham. Saya juga suka salin semula al-Quran terutama surah tertentu untuk dibaca berulang kali,” katanya kepada ditemui Utusan Malaysia.
Masyitah merupakan salah seorang daripada tiga Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) yang cemerlang dalam UPKK menerima slip keputusan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan di Kuala Lumpur, minggu lalu.
Anak pasangan Mohamad Tarmizi Mahmud yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan dan Maznah Ismail itu berkata, minat terhadap pengajian Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) terutama subjek Sirah menjadi pemangkin semangatnya.
“Saya suka kelas KAFA dan apabila diberitahu dapat 9A saya bagaikan tidak percaya. Apa pun ia sangat menggembirakan saya kerana usaha keras tercapai,” katanya.
Guru KAFA SK Jabi, Siti Zaitun Khazali berkata, potensi Masyitah terserlah sejak tahun tiga apabila cepat menguasai pembelajaran termasuk tulisan Jawi. Beliau membimbing Masyitah mengulang kaji dengan menyalin nota dan surah seperti Yasin dan al-Mulk.
Kini, Masyitah telah menamatkan 27 juzuk al-Quran dan bakal khatam tidak lama lagi.
Siti Zaitun berkata, daripada 11 murid PPKI di sekolah itu, tiga mengambil UPKK tahun lalu dengan cemerlang.
“Masyitah menunjukkan semangat juang tinggi, tinggal di asrama sejak Tahun Satu untuk fokus dalam pelajaran. Sokongan penuh ibu bapa, menjadikannya sentiasa ingin bersaing bersama rakan normal,” katanya. – UTUSAN










