PENGALAMAN dimasukkan dalam penjara selama tiga hari dua malam di Indonesia gara-gara menjadi kambing hitam penganjur acara sekitar dua tahun lalu benar-benar membuka mata penyanyi meningkat naik, Najmi Niery.
Meskipun sudah berlalu dua tahun, kejadian itu masih berbekas, membuatkan penyanyi lagu Dekati itu dan enam rakan tidak melupakan dan mahu pelaku bertanggungjawab.
“Kami pernah terfikir untuk ambil tindakan kerana pelaku sampai hari ini bebas. Yang menghairan adalah dia selalu keluar masuk pejabat penguatkuasa di sana atas kesalahan sama.
“Selepas soal siasat, dia dilepaskan. Ibaratnya ini bukan pertama kali dia ditahan kerana kes membabitkan permit persembahan.
“Kami pula dipenjara dan menanggung kerugian sehingga RM30,000 kerana terpaksa membatalkan persembahan di Malaysia kerana ditahan di lokap negara jiran.
“Tapi kami bernasib baik kerana kerugian itu ditanggung seorang rakan yang prihatini, dialah yang mendapatkan khidmat guaman untuk melepaskan kami. Jika tidak, kami mungkin berada dalam penjara lebih lama,” kongsinya.
Kata Najmi lagi, disebabkan itu, dia sekarang ini lebih berhati-hati ketika berurusan tidak sewenang-wenangnya memberi kepercayaan kepada mana-mana pihak.
“Jangan mudah beri kepercayaan. Saya dan rakan-rakan ditipu orang yang kami kenal, yang mengundang kami membuat persembahan di Makassar, Indonesia.
“Dia berjanji mengurus semua dokumentasi untuk persembahan kami di satu acara muzik di sana tanpa kami menerima satu sen pun bayaran. Tetapi ketiadaan bayaran itu sudah dipersetujui sejak awal dan bukan isu.
“Malah kami tanggung sendiri kos penerbangan, makan minum dan penginapan dengan rela hati.
“Tapi alangkah terkejutnya apabila individu itu gagal menyediakan permit, sekaligus mengakibatkan kami meringkuk dalam penjara,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai pengalaman dalam penjara, Najmi memaklumkan tiada kekerasan berlaku malah mereka dilayan dengan baik sepanjang tempoh dipenjarakan.
“Mereka agak tegas ketika melakukan soal siasat. Tapi, dalam penjara kami dilayan baik, diberi makan makanan yang lazat,” jelasnya.
Najmi dalam pada itu berharap tiada artis tempatan lain yang menjadi mangsa dan melalui pengalaman buruk mereka.
“Penting artis Malaysia semak latar belakang orang yang berurusan itu, pastikan permit persembahan di luar negara diuruskan sebaiknya dan didahulukan,” kongsinya.










