IPOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Padang Rengas terbubar berikutan semua ahli jawatan kuasa (AJK) bahagian itu meletak jawatan dan mengisytiharkan keluar parti.
Keputusan itu dibacakan Pemangku Ketua Bahagian, Mazelan Ibrahim yang dimuat naik dalam satu rakaman video.
Keputusan dibuat selepas mesyuarat khas bahagian itu semalam kerana hilang kepercayaan terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yasin.
Dalam rakaman video tersebut, semua AJK Bahagian yang hadir menegaskan mereka meletak jawatan dan isytihar keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
“Tindakan ini dilakukan atas faktor kami sudah hilang kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin sebagai presiden.
“Dengan peletakan jawatan seluruh ahli jawatankuasa bahagian ini, secara rasminya bahagian ini sudah terbubar serta-merta.
“Kenyataan ini adalah ikhlas tanpa paksaan daripada semua pihak,” kata mereka dalam video berkenaan.
Sebelum ini pimpinan Bersatu Bahagian Lembah Pantai di Kuala Lumpur dan Larut mengumumkan pembubaran kedua-dua bahagian itu serta-merta, juga atas alasan hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin.
Ia susulan pemecatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan 16 ahli lain, termasuk beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti merangkumi empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). – UTUSAN










