Kejayaan Nur Laila tembusi perniagaan perabot

Kejayaan Nur Laila tembusi perniagaan perabot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menceburi perniagaan dimonopoli oleh golongan bukan bumiputera bukanlah sesuatu yang mudah.

Ia menuntut kesabaran, kesungguhan serta keberanian untuk bersaing dalam persekitaran yang mencabar dan kompetitif.

Namun, Nur Laila Alway tidak menjadikan kekangan itu sebagai alasan untuk berundur atau lekas berputus asa.

Hasil kerja keras dan komitmen berterusan sejak 2019, beliau kini mampu menarik nafas lega apabila jenama perabot miliknya, Ella Furniture, berkembang pesat sehingga memiliki lima cawangan di seluruh negara.

Cawangan tersebut terletak di Shah Alam, Bukit Jelutong, Johor Bahru, Kota Bharu dan Sungai Petani.

“Pada peringkat awal, pelbagai cabaran dihadapi, tetapi saya sedar kejayaan tidak datang bergolek.

“Saya belajar daripada setiap pengalaman dan merangka strategi tepat, sehinggalah jenama ini dapat melebarkan sayapnya ke lima cawangan,” katanya baru-baru ini.

Nur Laila memilih bidang perniagaan ini setelah menyedari keperluan ramai keluarga Malaysia yang mahukan perabot rumah bukan sekadar murah, tetapi berkualiti, premium dan tahan lama.

Apatah lagi ketika itu, kebanyakan jenama premium menetapkan harga yang tinggi, membuatkan ramai pelanggan sukar memiliki perabot impian mereka.

“Lantas, saya terdetik untuk mengetengahkan konsep mampu milik dengan menawarkan perabot seperti sofa, bangku, meja makan dan katil yang berkualiti tinggi di awal-awal pembabitan disusuli dengan pelbagai lagi produk lain,” katanya.

Jual dalam talian
Antara strategi awalnya ialah menjual dalam talian secara terus dari kilang, sekali gus menjadikan kos lebih rendah tanpa mengurangkan kualiti produk.

“Cara ini lebih mudah dan murah kerana ramai pelanggan yang sebelum ini membeli perabot import dari luar negara,” jelasnya.

Istimewanya, Nur Laila turut menawarkan jaminan lima tahun kepada para pelanggannya sebagai tarikan.

Dalam masa sama, beliau menyasarkan lonjakan jualan sehingga RM40 juta pada tahun ini menerusi pelbagai promosi yang dirancang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN