Jangan sibuk perkara lain, kita fokus semangat perpaduan - Anwar

Jangan sibuk perkara lain, kita fokus semangat perpaduan – Anwar

ANWAR Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan tetamu kehormat lain pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Wisma MCA di Kuala Lumpur. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengulas dakwaan berhubung sebarang perbincangan atau tindakan terhadap bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli susulan kenyataannya mengenai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Sebaliknya, Perdana Menteri menyeru semua pihak supaya menumpukan perhatian terhadap semangat perpaduan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

“Selamat Tahun Baharu Cina. Harapan kita adalah kemajuan rakyat dan perpaduan. Hari ini wajar kita fokus pada semangat perpaduan.

“Gong Xi Fa Cai, Xin Nian Kuai Le. Itu yang paling penting sekarang. Jangan sibuk dengan perkara lain dahulu. Fokus hari ini agar semangat rakyat terus bersatu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Wisma MCA, hari ini.

Sabtu lalu, Rafizi dilaporkan berkata, Azam tidak sepatutnya terus memegang jawatan berikutan kontroversi pemilikan saham yang didedahkan sebelum ini.

Katanya, himpunan #TangkapAzamBaki yang diadakan hanyalah untuk menguji reaksi kerajaan terhadap isu terbabit dan sekiranya kerajaan masih enggan menggantung Azam serta melaksanakan siasatan bebas, protes akan diteruskan.

Menurut laporan Bloomberg, Azam didakwa memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, bersamaan 1.7 peratus berdasarkan penyata tahunan syarikat yang difailkan pada 3 Februari tahun lalu.

Laporan itu turut menyebut nama Azam tersenarai dalam daftar pemegang saham yang diselenggara oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Azam didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang mengehadkan pemilikan saham penjawat awam dalam syarikat diperbadankan di Malaysia kepada tidak melebihi lima peratus modal berbayar atau bernilai RM100,000, mengikut mana yang lebih rendah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa transaksi berkenaan telah diisytiharkan dan saham tersebut dilupuskan pada tahun lalu.

Pada masa sama, Azam juga memfailkan saman fitnah berjumlah RM100 juta terhadap Bloomberg berhubung laporan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN