PETALING JAYA: Produk snek popular dari Korea Selatan yang didakwa mempunyai ramuan berasaskan babi tidak pernah dipersijilkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, produk import itu tidak memaparkan logo halal daripada mana-mana Badan Pensijilan Halal Luar Negara (FHCB) yang diiktiraf oleh Jakim pada label pembungkusan.
Katanya, orang ramai dinasihatkan memilih produk yang dipersijilkan halal oleh Jakim atau FHCB yang diiktiraf.
“Jakim mengambil perhatian serius berhubung dakwaan kewujudan ramuan berasaskan babi dalam snek itu seperti yang dilaporkan oleh beberapa akhbar utama pada 27 Februari lalu.
“Amalkan sikap berhati-hati dalam memilih produk seumpamanya dengan menyemak label dan kandungan produk terlebih dahulu sebelum membuat pembelian.
“Sekiranya terdapat sebarang penyalahgunaan logo halal pada produk yang tidak halal, orang ramai disaran agar membuat laporan segera kepada pihak berkuasa berwibawa untuk tindakan lanjut,” katanya.
Semalam, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penjualan snek popular dari Korea Selatan yang didakwa mengandungi ramuan berasaskan babi.
Presidennya, Datuk Nadzim Johan berkata, produk ‘Olive Young Bagel Chips’ yang dijual secara terbuka di rangkaian farmasi tempatan didakwa mengandungi ramuan tidak halal.
Beliau berkata, label terjemahan bahasa Inggeris pada bungkusan produk tidak menyatakan dengan jelas kandungan berkenaan, seolah-olah cuba menyembunyikan maklumat sebenar daripada pengguna. – UTUSAN











