BACHOK: Seorang penolong pegawai perubatan tidak menyangka objek yang disangka pelampung hanyut di tepi pantai rupa-rupanya mayat seorang anggota bomba yang ditemukan terapung di Pantai Kandis, Jelawat di sini hari ini.
Mohd. Azmi Fakarudin, 48, merupakan individu pertama menjumpai Allahyarham Ahmad Badrul Naim Ab. Wahab, 32, yang lemas ketika menyelamatkan adiknya semasa mandi di pantai tersebut petang semalam.
Menurutnya, dia bersama isteri, Asnor Nadirah Ishak, 46, dan dua anak berusia 12 dan 16 tahun sedang bergambar di pesisir pantai sebelum ternampak objek seperti pelampung hanyut.
“Saya bergegas menghampiri kawasan tepi pantai sebelum terkejut melihat jasad seorang lelaki yang berpakaian lengkap.
“Saya terus memaklumkan penemuan itu kepada seorang wanita yang sedang berniaga makanan ringan di sebuah di kios tidak jauh dari pantai berkenaan,” katanya.
Mohd. Azmi yang bertugas di Hospital Tengku Permaisuri Norashikin, Kajang, Selangor berkata, wanita terbabit kemudian menghubungi suaminya sebelum memaklumkan kepada pihak bomba.
“Saya tidak tahu ada kes lemas sebelum ke sini. Saya datang ke Pantai Kandis bagi memenuhi permintaan anak yang mahu bergambar dan beriadah di kawasan tepi pantai.
“Saya sudah beriadah dan bersiar-siar di Pantai Senok di sini semalam. Hari ini, saya datang ke sini untuk bergambar bersama keluarga sempena cuti Tahun Baharu Cina,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang yang hilang semasa cuba menyelamatkan adiknya yang mandi di Pantai Kandis, di sini semalam ditemukan lemas hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, mayat Ahmad Badrul Naim Ab. Wahab, 32, ditemukan pada pukul 12.15 tengah hari tadi. – UTUSAN











