Indonesia mahu hantar jururawat ke Malaysia

Indonesia mahu hantar jururawat ke Malaysia

MOHAMMAD Iman Hascarya Kusumo ketika hadir di majlis berbuka puasa bersama pengamal media Malaysia, di sini semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jururawat dari Indonesia akan ‘diterbangkan’ ke Malaysia bagi melengkapi keperluan sektor penjagaan kesihatan swasta di negara ini susulan peningkatan permintaan di industri pelancongan perubatan.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Mohammad Iman Hascarya Kusumo berkata, ramai rakyatnya yang ke Malaysia atas tujuan kesihatan dan perubatan menandakan terdapat permintaan yang tinggi terhadap jururawat.

Menurut beliau, kerajaan Indonesia akan mengadakan libat urus secara rasmi dengan kerajaan Malaysia dalam masa terdekat kerana sudah ada perbincangan awal dengan pihak hospital swasta di negara ini.

“Ada permintaan jururawat Indonesia ke Malaysia. Bagaimanapun, belum ada perbincangan atau libat urus kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara kedua-dua negara. Setakat ini lebih kepada perbincangan tidak rasmi saja.

“Kita berhasrat untuk memulakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana perlu pastikan jururawat kami mengikut dan mematuhi peraturan ditetapkan oleh kerajaan Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika majlis berbuka puasa bersama pengamal media Malaysia di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohammad Iman berkata, Lembaga Jururawat Indonesia juga perlu mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya di Malaysia bagi merealisasikan hasrat kerajaan republik itu.

Katanya, kerajaan Indonesia mahu memastikan jururawatnya yang dibawa masuk ke Malaysia memiliki kemahiran profesional bagi melengkapi keperluan di negara ini.

“Justeru, kita berharap perbincangan G2G antara Indonesia- Malaysia dapat dilakukan secepat mungkin pada tahun ini kerana sudah ada permintaan untuk jururawat kita,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pengukuhan ringgit Malaysia (RM) berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang lain mempunyai implikasi terhadap Indonesia terutama dari aspek pelancongan.

Beliau berkata, jurang mata wang itu menyebabkan jumlah rakyat Indonesia yang bercuti ke Malaysia semakin berkurang berbanding peningkatan rakyat di negara ini yang menjadikan republik itu sebagai antara destinasi pelancongan utama mereka.

“Pelancong dari Indonesia masuk ke Malaysia memang berkurang tetapi kalau pelancong dari Malaysia (ke Indonesia) memang ramai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN