PETALING JAYA: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menggantung tugas tiga pegawai pengurusan tertingginya susulan penemuan dan syor daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ketua Audit Negara serta siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan beberapa isu.
Tindakan itu dibuat berikutan isu berkaitan pengurusan levi tidak digunakan, pemerolehan Menara Ikhlas dan pengurusan pelaburan ekuiti HRD Corp merangkumi penemuan terkini berhubung Sistem Teras Baharu (New Core System – NCS) bernilai RM14 juta yang tertangguh lebih empat tahun selepas tiga kegagalan Ujian Penerimaan Pengguna (UAT).
Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz berkata, langkah penggantungan tersebut adalah sebahagian daripada usaha pemulihan dan pengukuhan tadbir urus selaras dengan aspirasi Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan yang menekankan standard integriti, ketelusan dan akauntabiliti lebih tinggi dalam institusi berkaitan tenaga kerja.
Menurutnya, HRD Corp akan melaksanakan siasatan dalaman yang telus dan berintegriti dengan mandat, skop serta terma rujukan yang jelas.
“Proses itu meliputi semakan dokumen, rekod kewangan, kelulusan, minit mesyuarat dan jejak audit selain pengambilan keterangan serta pengesahan fakta daripada pegawai terlibat, tertakluk kepada prinsip keadilan asasi dan keperluan kerahsiaan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, HRD Corp berkata, sebanyak 18 peratus daripada portfolio pelaburan berstruktur yang tertunggak berjaya diselesaikan dengan pulangan berjumlah RM151.8 juta dalam minggu pertama pelantikan Ketua Eksekutif baharu.
Jelasnya, bagi memastikan tadbir urus dan pemantauan yang lebih kukuh, pelaksanaan program latihan yang diluluskan hanya boleh dijalankan selepas tempoh minimum 21 hari hingga tiga bulan daripada tarikh kelulusan.
Ujarnya lagi, tempoh ini memberi masa yang cukup kepada majikan dan penyedia latihan untuk membuat perancangan rapi termasuk tempahan lokasi, pendaftaran peserta dan penyelarasan logistik.
“Pada masa ini, tiada pemantauan yang sistematik terhadap program latihan yang diluluskan telah melemahkan kawalan dan pengawasan tadbir urus.
“Terdapat juga kes di mana latihan dilaksanakan sebelum kelulusan diperoleh, dengan permohonan geran dikemukakan hanya selepas latihan selesai.
“Bagi menangani isu ini, HRD Corp akan memperkukuh rangka kerja pemantauan dan penguatkuasaan secara berperingkat dengan menempatkan pegawai di lapangan untuk menyelia pelaksanaan latihan,” katanya.
HRD Corp yakin penambahbaikan yang dibuat ini akan memperkukuh pematuhan, akauntabiliti dan tadbir urus yang lebih baik selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, khususnya teras kesejahteraan, keadilan sosial, keberdayaan dan ihsan dalam memastikan manfaat pembangunan negara dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat dan industri,” katanya. – UTUSAN










