PETALING JAYA: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) melancarkan edisi ketiga National Training Index (NTI) 2024 yang menjadi penanda aras strategik dalam pembangunan modal insan negara.
Ketua Pegawai Strategi HRD Corp, Dr. Rony Ambrose Gobilee berkata, NTI kini bukan lagi sekadar alat penilaian, malah telah berkembang menjadi instrumen penting dalam perancangan strategik sektor latihan.
“NTI memainkan peranan penting dalam menyelaraskan usaha latihan dengan keperluan sebenar industri selaras dengan misi HRD Corp untuk mempertingkat dan menambah kemahiran tenaga kerja negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Laporan NTI dibangunkan sebagai indikator kebangsaan bagi menilai tahap penyertaan latihan, pelaburan serta hasilnya merentasi sektor utama. Ia membolehkan perancangan tenaga kerja lebih inklusif, berfokus dan berimpak tinggi.
Menurut HRD Corp, NTI 2024 menggariskan tiga dimensi utama dalam landskap latihan negara iaitu Komitmen Kesediaan Firma, Pembangunan Kemahiran Pekerja dan Keberkesanan Penyedia Latihan.
Edisi kali ini turut menetapkan penanda aras baharu dengan menampilkan analisis diperluas, data terkini serta pandangan mendalam mengikut negeri, menilai prestasi latihan secara lebih terperinci di seluruh Malaysia. – UTUSAN









