PETALING JAYA: Seramai 3.2 juta rakyat Malaysia telah mendaftar menyertai lebih 70,000 kursus ditawarkan sepanjang Minggu Latihan Nasional (NTW) 2025 anjuran Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) di seluruh negara.
Melibatkan 1,516 penyedia latihan dengan 39 bidang kemahiran merangkumi e-dagang, keselamatan, kesihatan dan keusahawanan, NTW merupakan platform mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat melibatkan kursus secara fizikal dan dalam talian.
Menurut Ketua Wilayah Tengah – Sektor Baharu HRD Corp, Geetha Ganesan, penganjuran NTW bertujuan memupuk kemahiran berterusan dalam kalangan masyarakat, bukan sekadar kepada majikan berdaftar atau pembayar levi.
“Minggu Latihan Nasional ini bukan sekadar untuk golongan profesional atau majikan berdaftar sahaja. Ia juga satu bentuk tanggungjawab sosial HRD Corp untuk menyemai kemahiran dan nilai kelestarian dalam masyarakat,” katanya berucap pada bengkel pengurusan sisa organik kepada baja kompos di Flat Sri Cempaka, Bandar Sri Damansara dekat sini, hari ini.
Menurut Geetha, bengkel bertajuk Grow Together: From Waste to Wonder itu menghimpunkan lebih 100 peserta dalam kalangan komuniti B40 mempelajari kemahiran mengurus sisa organik kepada baja kompos.
“Kita mulakan dengan komuniti kecil seperti warga Flat Sri Cempaka ini kerana kami percaya perubahan besar bermula dari akar umbi. Kompos bukan sahaja bantu kurangkan sisa, tapi juga pelihara kualiti udara dan kurangkan pencemaran,” katanya.
Program tersebut dianjurkan HRD Corp Wilayah Tengah – Sektor Baharu buat julung kali diperkenal sebagai bengkel komuniti berkemahiran hijau dalam kerangka Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Penyelaras TVET, Dr. Azizul Amar Rahmat berkata, pendekatan itu membuka peluang TVET untuk menyasar pelajaran kemahiran kepada semua peringkat usia dalam komuniti dan bukan hanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Biasanya kita fokus kepada belia lepasan SPM, tapi program sebegini sentuh semua golongan suri rumah, warga emas dan lain-lain. Inilah TVET dalam bentuk ‘blue ocean’ (lautan biru). Skill mudah, tapi memberi impak besar,” katanya. – MINGGUAN









