ALOR SETAR: Dua lelaki termasuk seorang warga Indonesia yang sebelum ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen kerana membuang sampah kecil di tempat awam menjalani hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM), hari ini.
Kedua-dua lelaki terbabit, Lim Xiang Yong dan Jufri Zulkifli masing-masing berusia 39 tahun menjalani hukuman itu di perkarangan Stadium Darul Aman, di sini dengan dipantau pegawai Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah.
Pada 26 Januari lalu, Jufri yang merupakan warga Indonesia dan bekerja sebagai buruh binaan didenda RM300 dan boleh dipenjarakan selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu, selain dia diperintahkan menjalani PKM selama enam jam dalam tempoh dua bulan.
Manakala, Xiang Yong yang bekerja sebagai jurujual didenda RM700 atau enam bulan penjara jika gagal bayar denda serta hukuman PKM selama 10 jam dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, semalam.
Pengarah SWCorp Kedah, Shamsuharizal Basir berkata, pertuduhan terhadap mereka dibuat di bawah Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), selain membolehkan mahkamah mengenakan PKM mengikut Subseksyen 77B(1) akta sama.
“Pelaksanaan hukuman ini bertujuan memberi mesej jelas bahawa tindakan pembetulan dilaksanakan secara tegas, tersusun dan berimpak,” katanya ketika memantau dua individu terbabit di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini hari ini.
Kata beliau, tindakan berkenaan juga menegaskan bahawa penguatkuasaan dilaksanakan secara adil dan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak tanpa mengira kewarganegaraan.
“Berdasarkan rekod, akan ada lagi PKM di negeri ini berikutan 159 kertas siasatan sudah dibuka dan 35 kertas siasatan sudah mendapat tarikh sebutan di mahkamah.
“Nasihat saya kepada masyarakat supaya jangan membuang sampah kecil merata tempat dan tindakan tegas akan diambil kepada pesalah sama ada di tempat awam atau luar kenderaan atau di mana sahaja,” katanya.
Shamsuharizal berkata, anggota SWCorp melakukan penyamaran dengan berpakaian preman dan berada di mana-mana tempat dalam melaksanakan Op Cegah. – UTUSAN










