KUALA LUMPUR: Empat individu yang didapati melakukan kesalahan membuang sampah kecil di kawasan awam menjalankan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di sekitar pusat bandar di sini hari ini.
Keempat-empat mereka melakukan kerja-kerja pembersihan termasuk menyapu kawasan awam, mengutip sampah serta membersihkan longkang mengikut perintah mahkamah.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed berkata, keempat-empat pesalah itu telah diperintah menjalankan khidmat masyarakat selama empat jam dalam tempoh enam bulan.
“Mengikut perbincangan, kesemua mereka bersetuju untuk menamatkan tempoh empat jam itu pada hari ini mengikut peruntukan undang-undang yang menetapkan maksimum empat jam sehari.
“Hari ini ada empat pesalah di Kuala Lumpur terdiri daripada seorang warga tempatan serta masing-masing warga Pakistan, Singapura dan Indonesia,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah beliau, ia merupakan fasa pertama PKM yang dilaksanakan secara serentak di lima negeri melibatkan 15 pesalah berusia antara 20 hingga 50 tahun.
Kata Khalid, tempoh hukuman PKM yang dikenakan berbeza mengikut tahap kesalahan dan lokasi tugasan dengan tempoh minimum empat jam dan maksimum sehingga 10 jam seperti diputuskan mahkamah.
“Dalam usaha memastikan keberkesanan pelaksanaan, setiap aktiviti PKM dipantau secara langsung oleh pegawai penguat kuasa SWCorp bagi memastikan tugasan dilaksanakan sepenuhnya serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.
Katanya, pelaksanaan hukuman itu dijalankan secara terkawal dan beretika, tanpa menjejaskan maruah pesalah selaras dengan prosedur operasi standard (SOP).
“Setiap pesalah turut dibekalkan kelengkapan perlindungan diri seperti vest keselamatan dan pelitup muka bagi memastikan aspek keselamatan dan kebajikan terjamin sepanjang tempoh pelaksanaan hukuman,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Khalid, SWCorp telah mengeluarkan sebanyak 742 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) di tujuh negeri, melibatkan 581 warganegara tempatan dan 161 warganegara asing, semalam.
Sementara itu, seorang pesalah warga tempatan yang bekerja sebagai pemandu e-hailing mengakui, hukuman tersebut menjadi pengajaran kepada dirinya mahupun orang lain.
“Setiap kesilapan pasti ada hikmahnya, ia mungkin boleh menjadi pengajaran kepada orang lain agar lebih berhati-hati.
“Nampak macam benda kecil tapi benda itu beri impak yang besar, mungkin duit itu boleh bayar tempat lain tapi sebabkan puntung rokok sahaja saya kena sampai denda macam ini,” katanya. – UTUSAN










