KUALA LUMPUR: Sejumlah 15 individu yang didapati melakukan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam menjalankan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di lima negeri secara serentak semalam.
Kumpulan fasa pertama KPM itu melibatkan pesalah berusia 20 hingga 50 tahun termasuk empat orang pesalah di ibu negara.
Keempat-empat pesalah di Kuala Lumpur diperintah oleh mahkamah menjalankan khidmat masyarakat selama empat jam dalam tempoh enam bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed berkata, mereka terdiri daripada seorang warga tempatan serta masing-masing warga Pakistan, Singapura dan Indonesia,
Katanya, keempat-empat mereka melakukan kerja-kerja pembersihan termasuk menyapu kawasan awam, mengutip sampah serta membersihkan longkang.
“Mengikut perbincangan, kesemua mereka bersetuju untuk menamatkan tempoh empat jam itu pada hari ini mengikut peruntukan undang-undang yang menetapkan maksimum empat jam sehar,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Di Pahang, dua pesalah berusia antara 26 tahun hingga 45 tahun diperintahkan mahkamah menjalani hukuman tersebut di Jalan Lurah Semantan, di sini sebagai fasa pertama pelaksanaan.
Pesalah pertama berusia 45 tahun dikenakan denda RM600 dan boleh dipenjarakan selama sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Mahkamah turut memerintahkan beliau menjalani PKM selama enam jam dalam tempoh enam bulan, iaitu satu jam sehari selaras Seksyen 77A(1) Akta 672.
Pesalah kedua berusia 26 tahun pula didenda RM300 atau berdepan hukuman penjara sebulan jika gagal membayar. Beliau juga diperintahkan menjalani PKM selama enam jam dalam tempoh enam bulan mengikut peruntukan sama.
Kata Khalid, tempoh hukuman PKM berbeza mengikut tahap kesalahan dan lokasi tugasan dengan tempoh minimum empat jam dan maksimum sehingga 10 jam seperti diputuskan mahkamah.
“Dalam usaha memastikan keberkesanan pelaksanaan, setiap aktiviti PKM dipantau secara langsung oleh pegawai penguat kuasa SWCorp bagi memastikan tugasan dilaksanakan sepenuhnya serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.
Katanya, pelaksanaan hukuman itu dijalankan secara terkawal dan beretika, tanpa menjejaskan maruah pesalah selaras dengan prosedur operasi standard (SOP).
“Setiap pesalah turut dibekalkan kelengkapan perlindungan diri seperti vest keselamatan dan pelitup muka bagi memastikan aspek keselamatan dan kebajikan terjamin sepanjang tempoh pelaksanaan hukuman,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Khalid, SWCorp telah mengeluarkan sebanyak 742 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) di tujuh negeri melibatkan 581 warganegara tempatan dan 161 warganegara asing. – UTUSAN










