SWCorp keluar 644 notis kesalahan buang sampah merata

SWCorp keluar 644 notis kesalahan buang sampah merata

KHALID Mohamed ketika ditemui selepas prosiding melibatkan seorang lelaki warga Singapura yang didenda RM1,500 selepas membuang puntung rokok secara merata di tempat awam, di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengeluarkan sebanyak 644 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) bagi kesalahan membuang sampah merata-rata, setakat pagi tadi, dengan kebanyakannya melibatkan pembuangan puntung rokok.

Daripada jumlah itu, 500 notis melibatkan warga tempatan dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan kes tertinggi sebanyak 173, diikuti Kedah (142 kes) dan Negeri Sembilan (97 kes).

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan membuang sampah kecil tidak tertumpu kepada warga asing semata-mata, sebaliknya melibatkan semua individu tanpa mengira latar belakang.

Katanya, pihaknya akan terus memantau kawasan tumpuan awam dan lokasi pelancongan bagi memastikan tahap kebersihan sentiasa terpelihara.

“Kami akan sentiasa memperhatikan tindak tanduk individu-individu, terutamanya di kawasan-kawasan tumpuan awam dan di kawasan-kawasan pelancongan.

“Pada pemerhatian kami, walaupun hebahan telah dibuat secara meluas, tapi masih lagi terdapat segelintir individu-individu ini tidak cakna dengan kebersihan,” katanya dalam sidang akhbar di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari sini.

Terdahulu, seorang lelaki warga Singapura didenda RM1,500 oleh Mahkamah Sesyen kerana membuang puntung rokok di tempat awam.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu kepada Mohamed Nuh Qursaini Kayat, 25, selaku orang kena saman (OKS) selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Dalam pada itu, kata Khalid, satu pelaksanaan perintah khidmat masyarakat secara besar-besaran juga akan dijalankan serentak di seluruh negara pada 13 Februari ini di beberapa lokasi berasingan.

Katanya, pelaksanaan itu melibatkan enam pesalah yang telah didakwa setakat ini, selain 11 lagi yang dijangka didakwa minggu ini, menjadikan keseluruhan seramai 17 individu.

“Apa yang paling penting sekali, kami ingin menyeru kepada rakyat Malaysia, kepada warga asing yang berada di Malaysia ini, silalah patuhi undang-undang kecil membuang sampah.

“Jangan menjadikan tangan kita sebagai salah satu punca menyebabkan sampah-sampah berada di merata tempat, bukan di tempat yang telah ditetapkan.

“Kerana pada kami, tangan-tangan mereka ini yang mengotorkan, jadi tangan-tangan mereka jugalah yang perlu membersihkan ia kembali,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN