418 individu dikesan buang sampah di tempat awam

418 individu dikesan buang sampah di tempat awam

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak 418 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) melibatkan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam telah dikeluarkan kepada pesalah di negeri-negeri terlibat, sejak awal tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed berkata, seramai 315 pesalah merupakan warga tempatan manakala baki 103 ialah warga asing.

Katanya, pihaknya telah mendapat kebenaran mendakwa melibatkan 99 pesalah dengan 15 daripadanya akan dibicarakan dalam masa terdekat.

“Hari ini di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, dua individu warga asing merupakan pesalah pertama yang didakwa kerana membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok dan botol minuman,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah di sini, hari ini.

Khalid berkata, NPK tertinggi dikeluarkan adalah di Kuala Lumpur melibatkan 127 kes, diikuti Kedah (99), Negeri Sembilan (61), Johor (58) serta Pahang (30).

“Selain hukuman denda, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) ini turut memperuntukkan orang kena saman (OKS) dikenakan perintah khidmat masyarakat melibatkan tempoh maksimum 12 jam.

“Antara khidmat masyarakat itu termasuklah membuang sampah, mencuci lantai, mencuci tandas, memotong rumput dan lain-lain. Hukuman yang dikenakan akan dipilih mengikut kesesuaian individu dengan aspek keselamatan mereka akan diutamakan,” ujarnya.

Pelaksanaan Akta 672 bermula 1 Januari lalu dengan perintah khidmat masyarakat berkuat kuasa di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, dan Kedah serta dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN