PETALING JAYA: Siasatan polis berhubung dakwaan untuk menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara membabitkan keluarga berpengaruh di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan menimbulkan persoalan tentang komitmen kerajaan terhadap demokrasi dan kedaulatan undang-undang.
Naib Ketua Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), R. Sri Sanjeevan berkata, peruntukan yang membawa hukuman sehingga 20 tahun penjara itu sepatutnya digunakan hanya terhadap ancaman sebenar yang melibatkan unsur ganas atau tindakan tidak berperlembagaan, bukan terhadap pengkritik politik.
“Kita tidak lupa ketika Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) digunakan terhadap pembangkang, Pakatan Harapan (PH) mengecamnya sebagai draconian law dan berjanji melakukan reformasi.
“Prinsip yang mereka perjuangkan ketika itu adalah jelas, undang-undang tidak boleh menjadi alat membungkam suara rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Sanjeevan, Seksyen 124B dibaca bersama Seksyen 130A mensyaratkan elemen tindakan ganas atau tidak berperlembagaan.
Katanya, kritikan terhadap dasar kerajaan bukan cubaan menjatuhkan demokrasi dan tafsiran yang terlalu luas hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak pendakwaan mesti kembali kepada prinsip rule of law, bukan rule by law.
“Seksyen 124B diwujudkan untuk melindungi demokrasi berparlimen, bukan untuk melindungi kerajaan yang sedang memerintah,” katanya.
Kelmarin, media melaporkan siasatan dijalankan PDRM terhadap seorang individu berpengaruh dan agensi media antarabangsa berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan serta sabotaj terhadap kestabilan negara.
Siasatan itu dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan.
Ia susulan siasatan terhadap keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin, apabila empat anaknya kini dikesan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan agensi itu.
Selain itu, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid turut menafikan sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan seperti yang didakwa pihak tertentu.
Menurut isteri bekas Menteri Kewangan itu, cubaan mengaitkannya dengan laporan Bloomberg yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki adalah tidak bertanggungjawab dan menghina wartawan yang terlibat. – UTUSAN











