Cadangan penubuhan MCI perkukuh kerjasama TVET antara Malaysia-China - Utusan Malaysia

Cadangan penubuhan MCI perkukuh kerjasama TVET antara Malaysia-China

AHMAD Zahid Hamidi ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan penubuhan Malaysia–China Institute (MCI) berpotensi memperkukuh kerjasama strategik dua hala khususnya dalam pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berimpak tinggi antara Malaysia dengan China.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan bersama-sama Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing, semalam.

Menurutnya, perbincangan turut melibatkan kerangka kerjasama pembangunan modal insan, latihan pengajar, sokongan peralatan dan kemahiran teknikal, termasuk keperluan penghantaran tenaga pengajar bahasa Mandarin ke MCI.

“Pada peringkat awal, MCI akan beroperasi menggunakan kemudahan GIATMARA sedia ada di Bagan Datuk, sebelum pembangunan kampus tetap baharu yang akan dibina di atas tanah seluas 60 ekar (24 hektar) nanti,” katanya dalam catatan di Facebook malam tadi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, institut berkenaan disasarkan untuk menampung hingga 2,000 pelajar dengan tumpuan kepada TVET berimpak tinggi dan bernilai tambah tinggi.

Jelasnya, kedua-dua pihak bersetuju penubuhan MCI berpotensi menjadi platform strategik bagi memperkukuh pertukaran pengetahuan, kepakaran dan latihan antara institusi Malaysia dengan China.

“Sebanyak 18 bidang TVET telah dikenal pasti untuk pelaksanaan awal antaranya melibatkan bidang automotif, kenderaan elektrik, automasi industri, tenaga solar, robotik, Internet Kebendaan (IoT) dan agroteknologi.

“Sebagai langkah ke hadapan, kedua-dua pihak bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama, di samping melaksanakan program mobiliti pelajar dan tenaga pengajar dalam sektor berimpak tinggi bagi menyokong pembangunan bakat dan keperluan industri masa depan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN