JOHOR BAHRU: Sebarang tindakan memecat Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainudin hanya akan memburukkan lagi keadaan serta memecah belahkan parti pada masa depan.
Ketua Bersekutu Bersatu Johor, Datuk Tan Lek Khang susulan itu berkata, pihaknya menolak sebarang keputusan sedemikian sebaliknya mendakwa Hamzah telah menjalankan tugas sebagai ketua pembangkang dengan baik.
Sehubungan itu katanya, tindakan memecat Hamzah hanya akan melumpuhkan Bersatu dan juga Perikatan Nasional (PN) menjelang beberapa siri pilihan raya tidak lama lagi.
“Tindakan pemecatan secara langsung akan mencetuskan perkembangan pesat keretakan dalam parti Bersatu di semua peringkat, keretakan yang mustahil untuk diperbaiki dan diintegrasikan semula dalam jangka pendek.
“Begitu juga tindakan itu membuatkan parti sama sekali tidak akan berupaya sepenuhnya menghadapi pilihan raya Persekutuan dan pilihan raya negeri yang akan datang dalam keadaan terbaik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Lek Kang, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu seharusnya menyelesaikan isu berbangkit secara menyeluruh melalui rundingan serta komunikasi meja bulat yang berkesan dalam usaha memulihkan perpaduan dan kekuatan parti.
“Tan Sri Muhyiddin seorang ahli politik berpengalaman dan memilih kebijaksanaan, dia sendiri tentu faham selok belok insiden ini dan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk parti itu sendiri.
“Sehubungan itu, saya mewakili Jawatankuasa Bersekutu Bersatu Johor menolak sebarang tindakan hendak memecat Hamzah daripada jawatannya sebaliknya mahu parti fokus kepada kestabilan dan perpaduan,” ujarnya lanjut.
Pada masa sama, beliau turut menggesa kepimpinan parti memaklumkan secara jelas rancangan penyerahan kepemimpinan pada masa depan agar semua ahli di semua peringkat dapat membuat persediaan peralihan kuasa bagi kepimpinan baharu. – UTUSAN










