PETALING JAYA: Selain Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar turut dijadual hadir ke Konvensyen Reset Malaysia esok.
Penyertaan Ahmad Samsuri dijangka memberi isyarat penting terhadap hubungan dan hala tuju politik pembangkang selepas ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Abdul Hadi menerima undangan pengasas Reset Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk hadir merasmikan konvensyen tersebut.
Konvensyen Reset Malaysia yang dijadual berlangsung di Kelantan itu dijangka menjadi platform bagi menjelaskan hala tuju gerakan berkenaan, termasuk kedudukannya dalam landskap politik semasa.
Berdasarkan hebahan di Facebook Reset Malaysia, konvensyen tersebut mengetengahkan mesej pembinaan semula konsensus nasional baharu demi masa depan negara.
Perkembangan itu turut berlaku ketika landskap politik pembangkang menjadi perhatian selepas Pas mengumumkan pendirian untuk menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pada masa sama, Pas turut dijangka menerima kemasukan lebih 10 tokoh daripada latar belakang profesional, korporat dan pentadbiran dalam satu ceramah perdana di Negeri Sembilan, pada hari sama. – UTUSAN










