Isu kemasukan PCM selesai, bantah luar mesyuarat bukan cara PN

Isu kemasukan PCM selesai, bantah luar mesyuarat bukan cara PN

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor ketika ditemui selepas mesyuarat pengagihan kerusi PN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di Ibu Pejabat PAS, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kemasukan Parti Wawasan diterajui Datuk Seri Hamzah Zainudin ke dalam Perikatan Nasional (PN) telah diselesaikan dalam mesyuarat gabungan itu dan tidak seharusnya dibangkitkan kepada umum.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, isu tersebut telah diselesaikan dalam mesyuarat dan bantahan selepas keputusan dibuat tidak selaras dengan amalan dalam PN.

“Perkara itu sudah selesai. Saya sudah katakan kelmarin bahawa ia telah diselesaikan dan mesyuarat berjalan dengan baik.

“Sebarang bantahan selepas itu bukanlah cara kita. Bila kita bermesyuarat, kita bawa agenda dan hasrat kita, bukan semua mesti dipersetujui.

“Itulah namanya mesyuarat. Kalau semua agenda kita dipersetujui, tak payahlah mesyuarat. Bila bermesyuarat, ada yang kita cadang, orang tak terima,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agihan kerusi PN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Pejabat Agung Pas, hari ini.

Menurut Sanusi, sebarang keputusan yang dibuat oleh PN adalah berasaskan konsep syura iaitu prinsip perundingan dalam Islam.

Katanya, setiap keputusan yang dicapai menerusi perundingan adalah mengikat dan semua parti komponen perlu mematuhinya sebaik sahaja sesuatu perkara diputuskan.

“Jika perkara itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat, hasrat telah disuarakan dan keputusan telah dibuat, maka patuhilah.

“Kalau keputusan mesyuarat pun tidak dipatuhi, siapa lagi yang hendak dipatuhi? Kehendak sendiri? Lebih baik duduk sorang-sorang,” katanya.

Tambah beliau, penolakan terhadap sesuatu cadangan tidak seharusnya menimbulkan rasa tidak puas hati kerana mungkin terdapat hikmah di sebalik keputusan tersebut.

“Mereka tidak tahu, jika cadangan kita diterima, mungkin ada mudarat di sebaliknya. Jadi, itu juga merupakan satu rahmat dalam usaha kita,” katanya.

Semalam, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membantah tindakan PN menerima PCM atau yang dijenamakan semula sebagai Parti Wawasan Negara (Wawasan) sebagai anggota baharu gabungan itu.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilaporkan berkata, bantahan dibuat atas dasar PN sedang menghadapi masalah sesama parti komponen dan penerimaan terhadap parti baharu hanya akan menyulitkan masalah dalaman sedia ada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN