PETALING JAYA: Pegangan saham bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki telah diisytiharkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Azam berkata, pemilikan itu dibuat secara telus, mengikut prosedur dan tidak disembunyikan.
“Saya telah membuat pengisytiharan berhubung perkara ini, termasuk sumber pendapatan saya melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Semuanya telus,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menggesa Azam memberi penjelasan terperinci berkaitan dakwaan pemilikan saham dalam sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.
Mohd. Puad berkata, laporan berkaitan pemilikan saham Azam yang dianggarkan bernilai kira-kira RM800,000 itu mencetuskan pelbagai persoalan, sama ada dibenarkan di bawah peraturan dan etika perkhidmatan awam atau sebaliknya.
Menurut laporan sebuah portal berita, Azam dikatakan disenarai sebagai pemegang 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan, menurut pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Laporan itu mendakwa, pegangan saham didedahkan dalam penyata tahunan syarikat terlibat yang difailkan pada 3 Februari 2025.
Berdasarkan harga saham syarikat itu pada penutupan dagangan Isnin, nilai pegangan dianggarkan sekitar RM800,000.
Azam berkata, saham itu dibeli pada tahun lalu dan telah dilupuskan dalam tahun sama.
Beliau berkata, laporan oleh portal berita terlibat adalah berniat jahat dan mengelirukan, selain sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang kerana memfitnah. – UTUSAN










