KUBANG PASU: Insiden tembakan ke arah Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam isyarat jelas aspek keselamatan pasukan itu tidak boleh dipandang ringan.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kehadiran agensi yang baru berusia 14 bulan nyata memberi impak terhadap aspek penguatkuasaan termasuk operasi bersepadu dijalankan AKPS Bukit Kayu Hitam pada 15 Januari hingga 15 Februari lalu.
Katanya, rampasan bernilai RM3.1 juta dihasilkan hanya di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam itu mungkin memberi tekanan kepada pihak yang melanggar undang-undang.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi saya dan beritahu apa yang diperlukan oleh AKPS maklumkan kepada beliau untuk beliau usahakan.
“Antara perkara yang kita lihat di sini adalah pegawai-pegawai AKPS tidak dibekalkan senjata api, itu satu skop yang mungkin boleh diperbaiki dalam masa terdekat dan juga jaket kalis peluru serta kelengkapan yang boleh menjamin keselamatan anak buah saya bekerja dengan lebih selamat,” katanya selepas bertemu Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir yang nyaris ditembak dua lelaki bermotosikal berhampiran Masjid Al-Muhajirin, semalam.
Mohd. Shuhaily turut mengadakan pertemuan tertutup dengan seluruh warga AKPS Bukit Kayu Hitam susulan insiden pertama yang menimpa agensi penguatkuasaan berkenaan.
Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian dan pada pagi ini (semalam) tidak menjangkakan mereka bertindak sehingga ke tahap itu.
“Saya pasti tiada siapa sanggup melaksanakan perkara begitu sekiranya tidak berasa tertekan, saya juga sampaikan perkara itu dalam pertemuan bersama pegawai dan anggota AKPS tadi bahawa apa yang mereka laksana dalam tempoh 14 bulan ini dibuat dengan penuh keikhlasan dan kejujuran,” katanya. – UTUSAN










