80 peratus salah laku penguat kuasa tiada tindakan - Utusan Malaysia

80 peratus salah laku penguat kuasa tiada tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hampir 80 peratus aduan salah laku anggota penguat kuasa termasuk berkaitan isu integriti tidak diambil tindakan, walaupun telah dirujuk kepada unit tatatertib jabatan terlibat.

Jumlah itu merangkumi 62 daripada 75 kes yang dirujuk oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) kepada jabatan berkaitan dengan mengemukakan syor tindakan tatatertib terhadap penjawat awam terlibat.

Pengerusi EAIC, Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, sebarang syor tatatertib dan cadangan penambahbaikan yang dikemukakan tidak wajar dibiarkan tanpa tindakan kerana ia boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap integriti dan akauntabiliti agensi penguatkuasaan.

Katanya, pematuhan terhadap syor itu perlu dilaksanakan secara serius, konsisten dan tanpa sebarang kompromi demi memastikan akauntabiliti serta integriti penguatkuasaan terus diperkukuh.

Beliau berkata, unit tatatertib agensi penguatkuasaan diwajib memaklumkan kepada EAIC mengenai tindakan yang telah diambil serta alasan keputusan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan dapatan syor.

“EAIC menegaskan bahawa syor tatatertib dan cadangan penambahbaikan yang dikemukakan kepada pihak berkuasa tatatertib agensi terlibat tidak seharusnya dipandang sepi kerana ia dibuat berasaskan mandat di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.

“Antaranya Seksyen 30 (1) (b) yang menyatakan apabila suruhanjaya selesai menjalankan penyiasatan dan mendapati wujud salah laku yang merupakan kesalahan tatatertib, EAIC hendaklah mengemukakan syor hukuman yang patut dikenakan dan merujuk perkara tersebut untuk tindakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh seminggu kepada pimpinan tertinggi agensi penguatkuasaan untuk me­laksanakan pembaharuan atau bersedia diturunkan pangkat ke jawatan lebih rendah.

Beliau memberi amaran itu berikutan masih wujud kelemahan serius dalam agensi penguatkuasaan kerajaan.

Anwar turut mempersoalkan bagaimana penyeludupan boleh berlaku secara terbuka dan kelemahan penguat kuasa seolah-olah membenarkan keterlanjuran berterusan.

ISMAIL BAKAR

Ismail berkata, sebanyak 243 kes disiasat oleh EAIC me­libatkan pelbagai kategori adu­an dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Ujarnya, ia melibatkan salah laku, ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP), kelewatan mengambil tindakan, pelanggaran peraturan-peraturan pegawai awam, kesalahan jenayah serta penyalahgunaan kuasa pentadbiran dalaman.

Katanya, jumlah itu membabitkan 2,381 aduan diterima dengan setiap laporan perlu melalui proses saringan bagi menentukan kesahihan maklumat sebelum siasatan penuh dijalankan.

“Namun, terdapat 75 kes yang dirujuk kepada jabatan atau agensi berkaitan dengan EAIC mengemukakan syor tindakan tatatertib kepada penjawat awam terlibat termasuk isu melibatkan ketidakpatuhan SOP.

“Sebaliknya terdapat 62 kes atau 80 peratus dapatan kes salah laku anggota penguat kuasa yang disiasat EAIC tidak diambil tindakan, walaupun kami telah mengesyorkan syor tindakan tatatertib kepada agensi atau jabatan terlibat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan membawa isu berkenaan kepada perhatian Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pe­ngarah Perkhidmatan Awam dan Jawatankuasa Pilihan Khas Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Dewan Negara serta Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk tindakan lanjut.

“Baru-baru ini, Perdana Menteri telah memberi amaran keras kepada pasukan penguat kuasa, menegaskan tindakan tegas perlu diambil terhadap pegawai yang terlibat dalam perlakuan tidak berintegriti.

“Seiring itu, EAIC telah mengumumkan bahawa kes-kes yang tidak diambil tindakan atau lewat diambil tindakan akan dirujuk semula kepada pihak tatatertib agensi atau jabatan dan dipanjangkan kepada ketua perkhidmatan untuk tindakan segera,” katanya.

Ismail berkata, segala siasatan dijalankan secara berpe­ringkat dan teliti melibatkan penelitian dokumen, ketera­ngan serta semakan dalaman bagi memastikan setiap kes dinilai secara adil dan berasaskan bukti, khususnya apabila melibatkan pertimbangan tindakan tatatertib.

Ujarnya, tempoh siasatan pula bergantung kepada kerumitan dan skop kes, namun dilaksanakan mengikut SOP dengan sasaran penyelesaian dalam tempoh munasabah, termasuk sehingga enam bulan bagi kes kompleks.

Katanya, beliau berharap penubuhan Ombudsman Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri akan turut mengambil kira isu pelaksanaan syor tatatertib, agar dapatan siasatan dapat dimanfaatkan secara berkesan untuk tindakan.

“EAIC menyarankan agar dapatan siasatan dan syor yang dirujuk oleh ombudsman kelak boleh dimanfaatkan oleh setiap pihak tatatertib agensi bagi tindakan lanjut.

“Pendekatan ini dapat me­ngelakkan pertindihan proses siasatan, menjimatkan masa dan sumber serta mempercepatkan tindakan tatatertib terhadap pegawai awam yang terlibat, sekali gus menyokong sistem penguatkuasaan yang lebih efisien dan berkesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN