NARATHIWAT (THAILAND): Dua zon ekonomi utama di Wilayah Narathiwat digegarkan dengan tujuh letupan bom dalam tempoh enam jam sejak pukul 11 malam hingga 5 pagi semalam.
Walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, siri pengeboman menggunakan bahan letupan buatan sendiri (IED) dipercayai dilakukan oleh kumpulan pemisah yang aktif di beberapa kawasan di sekitar wilayah ini.
Sumber keselamatan Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, lima letupan berlaku di Pekan Yingo dan dua lagi di Pekan Tanjong Mas, daerah Rangae.
“Di Yingo, letupan pertama berlaku berhampiran bengkel motosikal pada pukul 11 malam diikuti letupan kedua kira-kira 50 minit kemudian, hanya 300 meter dari lokasi sama.
“Serangan berterusan apabila satu lagi letupan dikesan pada pukul 2.09 pagi berhampiran pasar Yingo disusuli letupan berhampiran bulatan menara jam pada pukul 4 pagi dan satu lagi di persimpangan menuju Lebuh Raya 42 kira-kira sejam kemudian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Sumber itu berkata, letupan pertama di Tanjong Mas berlaku pada pukul 11.32 malam berhampiran sebuah kedai runcit.
Katanya, pada pukul 1 pagi sebutir lagi bom meletup di kawasan bertentangan pejabat pendidikan mukim berkenaan.
Menurutnya, pasukan keselamatan bertindak pantas menutup dan mengepung semua lokasi terjejas bagi membolehkan unit forensik serta pakar pemusnah bom menjalankan pemeriksaan menyeluruh termasuk mengesan kemungkinan wujudnya bahan letupan yang belum diletupkan.
“Maklumat risikan sebelum ini ada memberi amaran mengenai kemungkinan serangan menyasarkan zon ekonomi di Narathiwat dalam tempoh Februari hingga Mac.
“Corak serangan ini menunjukkan perancangan rapi dan jelas menyasarkan kawasan ekonomi bagi menjejaskan keyakinan orang ramai serta komuniti perniagaan,” katanya.-UTUSAN










