PETALING JAYA: Dianggarkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena mengandungi e-waste atau sisa elektronik telah diseludup masuk melalui pelabuhan utama negara.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, syarikat yang terlibat dipercayai dimiliki oleh warga asing dan mereka mengimport sisa elektronik, plastik serta kertas untuk diproses bagi tujuan kitar semula.
Katanya, pihaknya justeru itu akan memperhebatkan siasatan terhadap premis-premis yang terlibat dalam pengimportan sisa elektronik secara haram ke negara ini.
“Komponen berharga seperti tembaga, aloi dan emas diambil, manakala baki sisa dilupuskan secara membakar, menanam atau dibuang terus sehingga mencemarkan udara dan sumber air,” katanya di sini hari ini.
Katanya, SPRM tidak menolak kemungkinan kegiatan ini dilindungi oleh pihak berkuasa tertentu yang sepatutnya bertanggungjawab mengekang kemasukan sisa pepejal tersebut.
Tegas beliau, jika tidak dibanteras secara menyeluruh, ia berpotensi mengakibatkan pencemaran serius kepada negara.
“Bagi menangani isu ini, Mesyuarat Petugas Khas Berkaitan Penguatkuasaan E-Waste telah ditubuhkan dengan keanggotaan 12 agensi termasuk SPRM, Agensi Kawalan Penerimaan Sisa (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Mesyuarat ini akan meneliti undang-undang khusus berkaitan e-waste dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan bagi memastikan kegiatan penyeludupan dapat dibanteras sehingga ke akar umbi,” jelasnya.
Ahmad Khusairi berkata, SPRM memandang serius isu ini dan memberi amaran kepada pihak berkuasa yang terlibat agar segera menghentikan pengimportan e-waste.
Utusan Malaysia semalam mendedahkan, terdapat kilang memproses e-waste dipercayai menyogok pegawai penguat kuasa antara RM2,000 hingga RM50,000 sebulan bagi membolehkan premis tersebut menjalankan kegiatan mereka.
Lebih malang, aktiviti itu dikesan terus beroperasi sejak beberapa tahun lalu walaupun sudah berada dalam pengawasan agensi terlibat. – UTUSAN










