Video nyanyian lama diungkit semula, Nabila Razali berlapang dada - Utusan Malaysia

Video nyanyian lama diungkit semula, Nabila Razali berlapang dada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gara-gara berkongsi pandangan peribadi di media sosial, penyanyi dan pelakon, Nabila Razali sekali lagi menjadi sasaran kecaman apabila segelintir warga maya mengitar semula video lama milik selebriti itu.

Bagaimanapun, Nabila atau Nur Nabila Mohd. Razali, 34, mengakui berlapang dada dengan situasi tersebut dan menganggap ia sekadar permainan emosi oleh individu yang tidak berpuas hati dengan kenyataannya sebelum ini.

“Saya tidak boleh mengulas apa-apa kerana video lama itu memang sudah lama wujud. Tiada perkara baharu pun, cuma dikongsikan semula.

“Sekurang-kurangnya ia mengingatkan saya kepada perkara yang pernah berlaku pada masa lalu. Kalau tidak, mungkin saya sendiri sudah lupa. Tak boleh buat apa-apa, mungkin mereka sudah tiada isu lain, sebab itu video lama dikeluarkan semula,” katanya.

Nabila ditemui pada sidang media drama Sesaat Lebih di 1 Utama, di sini, Rabu lalu.

Menurut penyanyi lagu Peluang Kedua itu, kritikan terhadap mutu nyanyiannya bukanlah sesuatu yang baharu dan sudah diterima sejak awal pembabitannya dalam industri seni.

“Kalau mahu bercakap soal nyanyian saya tidak bagus atau sebaliknya, teruskan sahaja kerana saya menerimanya dengan hati terbuka sejak dahulu.

“Sebab itu juga saya mengambil kelas vokal dan kelas tarian untuk memperbaiki diri. Apa lagi yang mampu saya lakukan, saya hanya membaca komen dan melihat reaksi netizen,” ujarnya.

Mengulas mengenai kenyataan yang dikongsikannya sehingga mengundang pelbagai reaksi orang ramai, Nabila menjelaskan dia tidak berniat memihak kepada mana-mana pihak dan pandangan tersebut disuarakan secara umum.

“Saya tidak menyebelahi sesiapa. Itu hanyalah pendapat peribadi kerana saya merasakan ia tidak adil apabila seseorang dihakimi sebegitu rupa.

“Apabila seseorang menyanyi, kita sepatutnya menilai melalui suara. Mengapa pula kehidupan peribadi dijadikan ukuran? Sama ada penyanyi atau pelakon, situasinya tetap sama.

“Saya kurang bersetuju dengan sikap suka menghakimi dan membuat andaian berdasarkan kehidupan peribadi orang lain. Kalau boleh, kurang-kurangkanlah perkara itu,” katanya.

Terdahulu, menerusi platform Threads, Nabila menegaskan bahawa seseorang penyanyi seharusnya dinilai berdasarkan kemampuan vokal, bukannya kehidupan peribadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN