Upah RM250 seludup seorang imigran

Upah RM250 seludup seorang imigran 

ADZLI Abu Shah menunjukkan gambar suspek yang ditahan dalam serbuan berkaitan penyeludupan imigran pada sidang akhbar di IPK Kedah, Alor Setar, hari ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Upah hanya sekitar RM250 bagi setiap seorang imigran tetap menarik minat warga tempatan terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia yang masuk ke negara ini melalui laluan haram.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, setakat ini pihaknya berjaya menahan 66 warga tempatan yang bertindak sebagai tekong sejak 2023 hingga 26 Januari lalu, selain 42 ejen warga asing yang terlibat aktiviti itu.

“Pada 2023, seramai 29 ejen warga tempatan dan 15 warga asing ditahan, manakala pada 2024 seramai 16 orang tempatan dan 11 warga asing, diikuti 18 warga tempatan dan lima warga asing tahun lalu serta tiga warga tempatan dan 11 warga asing setakat Isnin lalu bagi tahun ini.

“Modus operandi mereka adalah melalui lorong tikus sama ada di sempadan Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung serta perairan antarabangsa di Langkawi atau melalui sempadan Padang Besar di Perlis,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Adzli berkata, dalam tempoh sama, seramai 577 imigran pelbagai warganegara ditahan dengan Myanmar mencatatkan jumlah tangkapan teramai iaitu 481 orang.

Katanya, mereka memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan atas beberapa faktor termasuk keadaan sosial dan ekonomi yang stabil serta kedudukan yang terletak berhampiran Myanmar.

“Aktiviti penyeludupan imigran sangat serius kerana jenayah penyeludupan itu boleh menggugat keselamatan negara selain mengganggu ketenteraman awam.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana ia akan membawa banyak kesan buruk kepada negara dan saya difahamkan, depoh-depoh tahanan juga penuh selain negara terpaksa tanggung kos makanan, perubatan dan tempat tinggal sementara buat imigran ini,” ujarnya.

Tambahnya, dalam operasi terbaharu sepanjang bulan ini, polis berjaya menahan 73 individu disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia menerusi tiga operasi berasingan di negeri ini dan Pulau Pinang.

“Individu yang ditahan termasuk 14 tekong tempatan dan warga asing yang dipercayai bertanggungjawab sebagai pengangkut imigran warga Myanmar ke lokasi masing-masing.

“Seramai 11 ejen warga Myanmar, tiga ejen tempatan dan 59 imigran Myanmar serta Amerika Syarikat berusia setahun hingga 61 tahun ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN