797 saman dikeluarkan dalam Op Samseng Jalanan

797 saman dikeluarkan dalam Op Samseng Jalanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 797 saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu membanteras samseng jalanan di sekitar ibu negara awal pagi tadi. 

Operasi itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan melibatkan dua fasa di lokasi panas seperti Jalan Pahang, Jalan Genting Kelang dan Jalan Semarak bermula pada pukul 8 malam hingga 5 pagi. 

Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Superintenden Suffian Abdullah berkata, sebanyak 2,000 kenderaan diperiksa dalam operasi tersebut.

“Sebanyak 682 saman polis manakala 115 notis JPJ telah dikeluarkan hasil daripada operasi malam ini (malam tadi). 

“Kita turut menyita kira-kira 80 motosikal dipercayai terlibat dalam pengubahsuaian ekstrem dan kesemua kenderaan itu dibawa ke Balai Trafik Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut.

“Selain itu, seorang remaja ditahan dalam operasi ini di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 manakala seorang lagi melarikan diri dan meninggalkan motosikal yang kita akan bawa balik untuk tindakan lanjut terhadap pemilik,” katanya dalam sidang akhbar ketika meninjau operasi di Jalan Semarak, di sini, hari ini.

Menurutnya, kebanyakan individu yang diperiksa dan disyaki melakukan kesalahan terdiri daripada golongan remaja berumur antara 15 hingga 21 tahun.

Jelas belia, operasi itu dijalankan secara berterusan bagi membendung kegiatan lumba haram dan samseng jalanan, khususnya di kawasan yang sering menerima rungutan orang awam.

“Antara faktor lokasi operasi ‘hotspot’ dipilih kerana sering menjadi tumpuan samseng jalanan yang menyebabkan gangguan kepada orang awam.

“Setakat ini, tindakan ini akan kita laksanakan secara berterusan. Pihak JSPT Kuala Lumpur tidak akan berdiam diri dan sentiasa mengambil tindakan tegas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati ibu bapa memberi perhatian serius terhadap gelagat anak-anak bagi mengelak mereka terjebak dalam aktiviti samseng jalanan.

“Peranan ibu bapa adalah paling utama. Pastikan anak-anak tidak termakan pujukan rakan atau memberi alasan tidak wajar untuk berada di jalan raya.

“Kita akan terus melaksanakan operasi bagi membendung samseng jalanan dan lumba haram di sekitar Kuala Lumpur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN