Scam pelaburan rekod kerugian RM115 juta dalam tempoh sebulan

Scam pelaburan rekod kerugian RM115 juta dalam tempoh sebulan

RUSDI MOHD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 787 kes penipuan pelaburan tidak wujud direkodkan dalam tempoh sebulan pada Januari lalu membabitkan kerugian berjumlah RM115 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, jumlah kes yang direkodkan menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 732 kes dengan kerugian RM123 juta.

“Berlaku peningkatan kes sebanyak lapan peratus bagi tempoh terbabit. Namun, nilai kerugian mencatatkan penurunan tujuh peratus atau RM8.4 juta.

“Namun begitu, kerugian masih mencecah ratusan juta dan menunjukkan orang ramai masih menjadi mangsa penipuan pelaburan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, beberapa langkah boleh diambil bagi mengelakkan orang ramai menjadi mangsa pelaburan tidak wujud, antaranya menyemak latar belakang syarikat atau individu yang menawarkan pelaburan, berhati-hati dengan tawaran pulangan yang terlalu lumayan serta tidak membuat bayaran pendahuluan.

Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya menyemak ulasan serta maklumat latar belakang pelaburan berkenaan selain tidak berkongsi maklumat peribadi secara terbuka.

“Baca terma dan syarat dengan teliti serta jangan mudah terpedaya dengan iklan ‘kelas belajar pelaburan percuma’ yang ditawarkan di media sosial.

“Antara taktik sindiket ialah meminta mangsa membuat bayaran komisen terlebih dahulu sebelum memaklumkan bahawa wang pengeluaran kononnya telah disekat oleh Bank Negara Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, mangsa kemudian akan diarahkan membuat bayaran tambahan seperti cukai tertentu sebelum akhirnya menyedari bahawa mereka telah ditipu.

Rusdi berkata, orang ramai juga disaran membuat semakan melalui portal rasmi semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan sebarang transaksi selain merujuk senarai ‘Top Ten’ akaun penipu yang dikemas kini oleh JSJK.

“Berdasarkan rekod, banyak syarikat yang menggunakan nama perniagaan seperti renovasi, pembinaan dan perdagangan dikesan digunakan sebagai akaun keldai.

“Pelaburan yang sah tidak akan meminta anda memindahkan wang ke akaun syarikat pihak ketiga atau individu yang tidak dikenali melalui aplikasi sembang,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang menyedari diri menjadi mangsa penipuan selepas melakukan transaksi perlu segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi membolehkan tindakan segera diambil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN