'Malaysia masih terkawal kerana kecekapan PDRM'

‘Malaysia masih terkawal kerana kecekapan PDRM’

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan para jemaah selepas selesai menunaikan solat Zohor di Masjid Mengkuang Titi, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bersyukur kerana keadaan di Malaysia masih terkawal daripada sebarang anasir luar yang boleh merosakkan berbanding keadaan yang berlaku di sesetengah negara yang lain ketika ini.

Menurut Perdana Menteri berkata, situasi terkawal itu banyak dibantu oleh kecekapan pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan tugas mereka dengan cemerlang.

“Semalam, Ketua Polis Negara (Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail) ada buat kenyataan tentang muncul satu kelompok anak-anak muda yang terpengaruh dengan hasutan luar, ISIS (Kumpulan Daesh) yang nak buat Islamic State (IS), ajar bagaimana membikin bom dan sebagainya.

“Dalam hal ini, saya syukur kepada Allah. Pertama, keadaan masih terkawal (di Malaysia) dan kedua, polis yang cekap. Tetapi, kita jangan sesekali alpa. Anak-anak kita mesti dididik dengan ilmu, dengan penerangan, pencerahan dan kesedaran.

“Kerana apa? Kerana tanpa asas ilmu itu, mudah orang pengaruh. Ini (IS) pengaruh di luar dan masalah di luar dibawa ke sini (Malaysia). Anak-anak kita jadi marah.

“Sebelum ini, saya pernah sebut di Parlimen. Ada (pihak) yang iri hati dan cemburu dengan kejayaan Malaysia ini. Negeri aman, ekonomi baik, pertumbuhan (ekonomi) baik. Tapi, siapa kata tak ada masalah? Ada. Tapi, kita cuba selesaikan. Tak boleh selesai kalau negara tak aman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Masjid Mengkuang Titi di sini, hari ini. Hari sama Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid, beberapa menteri Kabinet serta pemimpin di peringkat Persekutuan dan negeri.

Semalam, Mohd. Khalid Ismail berkata, polis berjaya menahan enam suspek berusia antara 16 hingga 21 tahun yang dipercayai sedang merancang untuk melakukan serangan terhadap balai polis dan premis-premis awam dalam satu operasi khas pada 14 dan 15 Februari lalu.

Katanya, semua suspek tersebut dipercayai telah berbai’ah kepada pemimpin IS dan merekrut ahli baharu, memiliki bahan berkaitan militan dan aktif mempromosikan kumpulan pengganas di media sosial.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau telah menghubungi beberapa rakan sejawatnya termasuk mereka yang sedang berdepan krisis di Asia Barat ketika ini untuk menyatakan rasa simpati dan berkongsi pandangan dalam menentang penjajahan, keganasan serta kebiadaban Israel.

“Saya juga mengajak mereka supaya bekerjasama kerana tidak mungkin kita boleh bina kekuatan kalau tidak ada kesepakatan bersama untuk menyelesaikan masalah kita,” ujar beliau. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN