PETALING JAYA: Beberapa individu yang ditahan dalam himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) pada 7 Februari lalu akan memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tuntutan sivil itu dibuat menerusi Tetuan Chambers of Zainul Rijal selepas sembilan individu terbabit dilepaskan dengan jaminan polis, manakala seorang lagi direman dua hari sebelum dibebaskan.
Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, tindakan sivil itu diambil susulan dakwaan berlaku salah tahan, salah tangkap serta penggunaan kekerasan yang tidak perlu ketika proses penguatkuasaan dijalankan.
Katanya, tindakan itu bukan bertujuan menimbulkan isu perkauman atau keagamaan, sebaliknya bagi menegakkan kedaulatan undang-undang serta memastikan kuasa penguatkuasaan dilaksanakan mengikut batas Perlembagaan.
“Berdasarkan arahan dan maklumat awal daripada anak guam kami, tindakan sivil akan dimulakan bagi menuntut remedi yang sewajarnya atas sebab-sebab tertentu.
“Pihak-pihak responden yang akan dinamakan antara lain adalah Kerajaan Malaysia dan juga PDRM,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, notis tuntutan akan dikemukakan kepada pihak Kerajaan dan PDRM dalam masa terdekat dengan tempoh 14 hari diberikan untuk maklum balas rasmi sebelum tindakan mahkamah difailkan.
“Kenyataan ini dibuat untuk tujuan merekodkan pendirian rasmi dan memberi jaminan kepada orang awam bahawa tindakan undang-undang akan diambil demi kedaulatan undang-undang, akauntabiliti dan perlindungan hak rakyat.
“Pihak kami menyeru semua pihak agar bertenang dan memberi ruang kepada proses undang-undang. Kami akan mengeluarkan kenyataan lanjut apabila tindakan difailkan dan/atau apabila menerima perkembangan rasmi daripada pihak berkuasa atau Kerajaan,” katanya.
Pada 7 Februari lalu, media melaporkan beberapa individu dipercayai peserta himpunan GARAH ditahan pihak polis selepas cuba melakukan provokasi dan menimbulkan kekecohan.
Antaranya termasuk dua aktivis, Zamri Vinoth dan Tamim Dahari Abdul Razak yang direman dua hari bagi siasatan lanjut berhubung penganjuran himpunan itu. – UTUSAN










