PETALING JAYA: Perbezaan pendekatan politik hanya dilihat sebagai alasan untuk berpecah antara dua parti bertunjangkan Melayu Islam iaitu Pas serta UMNO, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, keadaan tersebut sekali gus mewujudkan tanggapan sebahagian ahli UMNO yang menganggap Pas lebih berbahaya berbanding DAP walaupun parti itu jelas dengan sifat ekstremnya.
Katanya, keadaan tersebut sekali gus memberi tanggapan bahawa keputusan UMNO bekerjasama dengan DAP dan meninggalkan Pas bukan hanya demi agenda politik negara semata-mata, sebaliknya dipengaruhi faktor lain termasuk kedudukan dan jawatan.
“UMNO mendakap DAP dan meninggalkan Pas kerana faktor lain termasuk jawatan. Inilah satu pendekatan yang salah dari segi agama kita,” katanya menerusi Minda Presiden hari ini.
Justeru Abdul Hadi menyeru agar Pas dan UMNO kembali bergabung dengan tidak menjadikan perbezaan pendekatan politik serta Perlembagaan parti sama sebagaimana perbezaan aqidah sehingga dijadikan alasan berpecah-belah yang akhirnya melemahkan kekuatan umat Islam di negara ini.
Malah katanya, umat Islam di negara ini perlu mengambil teladan daripada kepemimpinan Rasulullah SAW dengan mengutamakan penyatuan dan perpaduan khususnya dalam kalangan bangsa Melayu, biarpun wujud perbezaan pendekatan politik.
“Kita wajib membebaskan bangsa kita daripada kejahilan agama yang mewajibkan kita bersatu menjadi bangsa yang kuat.
“Inilah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW yang bertindak menyatukan kabilah Arab dan semua kumpulannya,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi yang turut memetik Surah Ali ‘Imran: 118–120 berkata, penyertaan UMNO dalam kerjasama politik menerusi Kerajaan Perpaduan telah dimanfaatkan DAP dan kelompok ekstrem tertentu bagi mengukuhkan kedudukan dalam Kabinet serta mengekalkan pengaruh kuasa politik DAP.
“Benarnya kenyataan Allah apabila DAP dan kumpulan ekstremnya menjadikan penyertaan kalangan UMNO untuk membina kedudukan yang lebih kuat bagi mengekalkan kuasa politik mereka dalam Kabinet serta melakukan tindakan politik yang membahayakan kedudukan Melayu dan Islam,” katanya.
Dalam catatan itu juga, Abdul Hadi berkata, bangsa Melayu Islam wajib diberikan hak untuk memimpin negara ini .
Katanya, ia berdasarkan realiti politik semasa dan bukan sekadar dijadikan modal politik seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.
“Ilmu politik Islam secara khusus meletakkan peranan bangsa dalam politik mengikut syariat yang menepati fitrah manusia (sifat tabii). – UTUSAN









