UMNO tegaskan UEC mesti berpaksi Perlembagaan, Bahasa Melayu sebagai teras - Utusan Malaysia

UMNO tegaskan UEC mesti berpaksi Perlembagaan, Bahasa Melayu sebagai teras

AHMAD Zahid Hamidi berucap pada Konvensyen Memperkasa Pendidikan Melayu di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) perlu ditangani dengan berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi memastikan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa penyatu negara terus diperkukuh.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bahasa bukan sekadar medium komunikasi, sebaliknya merupakan penentu kepada penguasaan dalam bidang pendidikan tinggi, perkhidmatan awam dan struktur ekonomi negara.

Katanya, sebarang langkah melemahkan Bahasa Melayu akan memberi kesan paling besar kepada anak Melayu yang melalui aliran kebangsaan, sekali gus menjejaskan mobiliti sosial dan daya saing dalam jangka panjang.

“UEC bukan soal perkauman, bukan soal pandangan sempit yang kita balingkan kerana sistem yang digunakan itu tidak mendasari sistem pendidikan kebangsaan kita.

“Yang kita sebutkan adalah soal masa depan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa sebagai penyatu negara,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Memperkasa Pendidikan Melayu, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, Bahasa Melayu perlu dimartabatkan sebagai bahasa ilmu masa depan yang mampu berfungsi sebagai bahasa sains, teknologi dan pemikiran tinggi, sejajar dengan keperluan ekonomi moden dan global.

Katanya, pelaburan teras juga perlu dibuat di peringkat sistem termasuk dengan memperkukuh Pusat Kecemerlangan Pendidikan Melayu di universiti-universiti terkemuka sebagai hab penyelidikan istilah, pembangunan kandungan digital dan latihan guru pakar.

“UMNO ingin mencadangkan dan terus memperjuangkan agar Bahasa Melayu mesti berkembang sebagai bahasa sains, teknologi bahasa pemikiran tinggi.

“Dengan strategi ini, dan dalam masa yang sama anak Melayu menguasai bahasa kedua, barulah kita mampu bersaing di peringkat global. Inilah kekuatan sebenar Melayu. Yakin dengan bahasa sendiri, tetapi mampu bergerak dalam dunia antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN