KUALA LUMPUR: Seorang wanita didenda RM35,000 selepas mengaku bersalah atas tuduhan menipu dalam pembelian mesin bitcoin di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Lim Pei Pei, 40, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan pilihan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa. Tertuduh diperintahkan dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan pilihan, ibu empat anak itu telah menipu seorang pengurus operasi syarikat komputer, Tan Hon Ken dengan menawarkan pembelian mesin bitcoin sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM599,100.
Kesalahan dilakukan di sebuah pusat perdagangan di Jalan Sentul, di sini, pada 16 Disember 2017 dan 5 Januari 2018 lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Izzat Amir memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai satu bentuk pengajaran.
Sementara itu, tertuduh merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana tiga anaknya yang berusia antara 13 hingga 15 tahun masih bersekolah serta atas faktor dia sudah bercerai. – UTUSAN










