PETALING JAYA: Pembayar cukai individu yang menerima Notis Bayaran Ansuran (CP500) daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak akan dikenakan penalti sepanjang tahun ini.
LHDN menerusi kenyataan berkata, perkara itu susulan pengumuman Perdana Menteri mengenai pemberian tempoh peralihan kepada pembayar cukai individu yang mempunyai pendapatan daripada punca penggajian serta bukan penggajian termasuk sewa, faedah dan royalti bagi mematuhi CP500 Tahun Taksiran 2026.
Katanya, dalam tempoh peralihan tersebut, tiada penalti akan dikenakan sekiranya pembayar cukai tidak membuat bayaran ansuran CP500.
“Bagaimanapun, pembayar cukai digalakkan membuat bayaran ansuran secara sukarela bagi mengurangkan beban baki cukai semasa pemfailan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) kelak.
“Selaras dengan konsesi pengenaan penalti yang diumumkan, pembayar cukai yang hanya memperoleh pendapatan daripada penggajian tidak diwajibkan mematuhi arahan bayaran ansuran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah LHDN, pihaknya akan menghubungi pembayar cukai terbabit bagi menjelaskan sebarang kesilapan laporan pendapatan dalam BNCP yang telah dikemukakan sebelum ini.
“Pembayar cukai yang ingin membuat pindaan amaun CP500 melalui Borang Permohonan Pindaan Bayaran Ansuran (CP502) berdasarkan anggaran pendapatan dan cukai kena dibayar bagi Tahun Taksiran 2026 boleh berbuat demikian tidak lewat daripada 30 Jun 2026 bagi pindaan pertama, manakala pindaan kedua perlu dikemukakan selewat-lewatnya 31 Oktober 2026,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan pelanjutan tempoh peralihan pelaksanaan e-Invois tanpa penalti selama setahun bagi syarikat dengan nilai jualan RM1 juta hingga RM5 juta.
Kerajaan turut menaikkan ambang pengecualian cukai perkhidmatan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada RM500,000 kepada RM1.5 juta.
Pengumuman tersebut dibuat ketika beliau menyampaikan Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya. – UTUSAN








