Tahfiz aset strategik perkukuh kedudukan Melayu - Utusan Malaysia

Tahfiz aset strategik perkukuh kedudukan Melayu

AHMAD Zahid Hamidi (kiri) menerima resolusi memperkasa pendidikan Melayu daripada Pengerusi Sekretariat Pendidikan dan Penyelidikan UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi pada Konvensyen Pendidikan Melayu di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pendidikan tahfiz perlu diangkat sebagai aset strategik bagi memperkukuh kedudukan Melayu dalam struktur ekonomi negara.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan bangsa tidak hanya tertumpu kepada kekuatan ekonomi semata-mata, sebaliknya turut membina generasi yang kukuh rohani, nilai dan jati diri.

Katanya, menerusi pelaksanaan Dasar Tahfiz Negara 2.0, Pra-Tahfiz, program Ulul Albab di semua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta pengiktirafan Sijil Tahfiz Malaysia setara dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3, negara sedang membina ekosistem baharu melahirkan generasi huffaz profesional.

“Saya tidak mahu kita hanya melahirkan huffaz yang hanya dihormati di mimbar tetapi terpinggir dalam ekonomi. Saya mahu lebih ramai jurutera huffaz, teknologis huffaz, akauntan huffaz dan usahawan huffaz.

“Cita-cita peribadi saya, satu hari nanti saya mahu melihat Perdana Menteri juga adalah Perdana Menteri al-Hafiz

“Inilah wajah baharu Melayu. Berakar kukuh pada wahyu, namun melangkah pantas dan yakin dalam ekonomi moden,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Memperkasa Pendidikan Melayu, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pemerkasaan pendidikan tahfiz serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut dijadikan antara agenda utama memperkasa pendidikan Melayu.

“Kurikulum TVET dan tahfiz juga perlu dirangka ke arah Pendidikan Berasaskan Projek (PBL) yang menyelesaikan masalah sebenar industri, diselitkan dengan Modul Nilai bagi membina integriti dan identiti.

“Apabila kemahiran teknikal, pendidikan tahfiz dan jaringan industri digabungkan, insya-Allah kita akan melahirkan tenaga kerja Melayu yang berakhlak, berkemahiran dan bernilai tinggi kepada ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×