SEREMBAN: Suspek kes letupan di sebuah Pangsapuri Desa Palma, Nilai pada 22 Disember lalu akan didakwa esok.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, suspek lelaki berusia 63 tahun itu akan didakwa atas lima pertuduhan, termasuk memiliki dan menggunakan bahan letupan serta melakukan khianat terhadap sebuah kenderaan awam dengan pertuduhan dibacakan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban esok.
“Lima pertuduhan tersebut adalah, tiga pertuduhan di bawah Seksyen 3 Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958, satu pertuduhan di bawah Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958, manakala satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai berprofil keselamatan tinggi dan telah disiasat secara menyeluruh dengan kerjasama Unit Pemusnah Bom (UPB), rakaman kamera litar tertutup (CCTV), keterangan saksi serta pemeriksaan forensik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan lelaki berusia 63 tahun itu direman selama tujuh hari bermula 28 Disember lalu dan disambung pada 4 Januari di hadapan Majistret Sara Afiqah Zulkipli di Wad 3B, Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, seorang lelaki yang diklasifikasikan sebagai penjenayah berbahaya dan terlibat dalam kejadian letupan di Nilai berjaya ditahan di Batang Benar di sini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati suspek mengalami kecederaan melecur di bahagian muka, badan, tangan dan kaki dipercayai akibat kejadian letupan berkenaan.
Susulan kejadian itu, polis turut menemukan puluhan alat letupan buatan sendiri (IED) di sebuah rumah kedai berhampiran lokasi kejadian. – UTUSAN










