PETALING JAYA: Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) perlu dimansuhkan atau dipinda sepenuhnya bagi memastikan pematuhan kepada kedaulatan undang-undang, proses perundangan yang adil serta perlindungan perlembagaan terhadap hak asasi manusia.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, cadangan tersebut diusulkan ekoran penahanan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di bawah akta tersebut selama sembilan.
Malah katanya, penahanan itu mencetuskan persoalan serius mengenai pelaksanaan undang-undang berkaitan perlindungan terhadap golongan bawah umur.
“Remaja berkenaan kini dilaporkan ditahan dari 14 hingga 23 Januari lalu dan sepanjang tempoh tahanan di Kedah, beliau mengalami muntah-muntah serta alahan pada kulit.
“Keadaan itu menimbulkan kebimbangan terhadap kesan fizikal dan psikologi yang terpaksa ditanggung oleh remaja tersebut serta ibunya. Akta berkenaan sama ada perlu dimansuhkan atau dirombak sepenuhnya bagi memastikan ia selari dengan kedaulatan undang-undang, proses perundangan yang adil serta jaminan perlembagaan terhadap hak asasi manusia,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini.
Sebelum ini, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dikatakan ditahan bersama beberapa individu lain untuk disiasat dibawah Sosma selepas disyaki melakukan pemerdagangan warga asing.
Dalam pada itu Guan Eng berkata, langkah pembaharuan itu dilihat penting bagi mengelakkan berlakunya penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa pada masa hadapan. –UTUSAN









