SK Putrajaya Presint 18(1) juara kumpul kotak minuman terpakai

SK Putrajaya Presint 18(1) juara kebangsaan kumpul kotak minuman terpakai

SK Putrajaya Presint 18(1) dinobatkan sebagai johan Pertandingan Pengumpulan Kotak Minuman Terpakai di peringkat negeri Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Anugerah keseluruhan peringkat kebangsaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Usaha berterusan memupuk kesedaran cintakan alam sekitar dalam kalangan murid sekolah berjaya menobatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 18(1) sebagai johan Pertandingan Pengumpulan Kotak Minuman Terpakai di peringkat negeri dan kebangsaan.

Kejayaan mengumpulkan sebanyak 710 kilogram (kg) kotak minuman terpakai itu menyaksikan sekolah menewaskan lebih 200 sekolah daripada lapan negeri yang menyertai program kitar semula anjuran sebuah syarikat pengeluar minuman terkemuka.

Inisiatif tersebut melibatkan lebih 250,000 murid menerusi sistem kutipan dan penebusan berasaskan mata ganjaran, yang membolehkan sekolah menebus peralatan sukan mesra alam atau perabot sekolah menggunakan kotak minuman terpakai (UBC) yang dikumpulkan.

Menerusi program yang dilancarkan pada April 2025 itu, sekolah-sekolah terlibat berjaya mengumpul keseluruhan sebanyak 4.2 tan UBC, bersamaan kira-kira 300,000 pek minuman.

Jumlah kutipan mata yang direkodkan melayakkan SK Putrajaya Presint 18(1) menebus tiga peralatan sukan mesra alam berupa set peralatan olahraga, set peralatan ping pong termasuk meja dan set bola keranjang termasuk tiang bola keranjang untuk kegunaan murid di sekolah.

Menurut Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Putrajaya Presint 18(1), Muhammad Sufian Ishak, pihak sekolah menggerakkan kempen ‘30 Hari 300 Kilogram Pengumpulan Kotak Minuman Terpakai’ selama sebulan bermula 25 Ogos hingga 24 September 2025.

“Kempen ini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada murid, guru, ibu bapa termasuk pembersih sekolah, pengusaha kantin serta pengawal keselamatan sehingga berjaya melepasi sasaran kutipan melebihi 300 kg,” katanya kepada Utusan Pelajar baru-baru ini.

Beliau berkata, pihak sekolah menggalakkan murid-murid membawa kotak minuman terpakai dari rumah dan memasukkannya ke dalam tong khas yang disediakan sebelum masuk ke kelas.

“Kami turut menyediakan peti surat khas bagi murid mencatat nama serta jumlah timbangan kutipan mereka sebelum dimasukkan ke dalam peti tersebut.

“Murid yang terlibat diberikan hadiah dan sijil sebagai ganjaran, selain direkodkan sebagai amalan terbaik menerusi Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM). Pendekatan ini amat berkesan dalam meningkatkan kesedaran dan motivasi murid,” katanya.

Muhammad Sufian turut menjelaskan bahawa pihak sekolah menjalinkan kerjasama dengan beberapa outlet minuman berjenama di sekitar Putrajaya bagi memperluaskan sumber kutipan kotak minuman terpakai.

Selain itu, penubuhan Skuad ETO Green turut membantu melaksanakan aktiviti pengasingan bahan kitar semula secara gotong-royong pada hari kokurikulum dan hujung minggu dengan penglibatan ibu bapa.

“Malah, ibu bapa yang menjual kotak minuman terpakai di pusat kitar semula dibenarkan berkongsi resit bagi tujuan rekod kutipan sekolah,” katanya.

Budaya kitar semula diperkukuh

Muhammad Sufian berkata, Guru Besar, Norizan Naaim turut berbesar hati melihat kejayaan sekolah membudayakan amalan kitar semula secara menyeluruh dan berterusan termasuk mewujudkan Kelab Pencinta Alam dan Alam Sekitar.

Menurutnya, pihak sekolah telah mewujudkan rumah khas kitar semula, tong pengasingan serta stor penyimpanan bahan kitar semula sebagai tulang belakang kepada pelaksanaan program berkenaan.

“Kejayaan ini tidak hanya bergantung kepada kempen, sebaliknya disokong kerjasama padu ibu bapa serta petugas pembersihan sekolah yang turut mengumpul bahan kitar semula sambil melaksanakan tugas harian menjaga kebersihan sekolah,” katanya.

Beliau berkata, usaha tersebut bertujuan memberi kefahaman kepada murid bahawa tidak semua yang dibuang itu adalah sampah, sebaliknya ada bahan yang boleh dikitar semula dan memberi nilai.

“Murid kini sudah boleh membezakan antara sampah dan bahan kitar semula. Kesedaran ini mendidik mereka supaya tidak sewenang-wenangnya membuang sesuatu yang masih boleh dimanfaatkan,” katanya.

Tambahnya, kesedaran itu bukan sahaja diterapkan di sekolah, malah dibawa ke luar, apabila murid secara sukarela mengumpul kotak minuman terpakai kerana memahami manfaatnya.

“Ibu bapa juga memberi sokongan penuh. Ada yang sanggup mengikut pendekatan sama seperti inisiatif sekolah, termasuk mengumpul kotak minuman terpakai di kedai-kedai sekitar Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata, sebagai bandar rendah karbon, Putrajaya memerlukan generasi muda yang peka terhadap alam sekitar, dan usaha tersebut secara tidak langsung memupuk rasa cinta dan tanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran.

“Apabila murid nampak sampah, mereka akan mengutip dan mengasingkannya. Dari situlah lahirnya rasa sayang dan cinta terhadap alam sekitar,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan berterusan menerusi ucapan perhimpunan sekolah, terutama berkaitan kepentingan kitar semula dan kebersihan.

“Kesedaran ini penting lebih-lebih lagi apabila Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dikuat kuasakan bermula 1 Januari sebagai hukuman untuk menangani isu pembuangan sampah kecil di tempat awam.

“Maka, murid-murid perlu dididik lebih awal agar berdisiplin dan bertanggungjawab,” katanya.

Selain kejayaan itu, SK Putrajaya Presint 18 (1) juga tersenarai satu-satunya sekolah dalam Putrajaya dalam 10 sekolah terbaik dan mendapat tempat kelima Pertandingan Kitar Semula Sekolah-sekolah (PerKISS) anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 2024 dengan berjaya mengumpulkan barangan kitar semula sebanyak lima tan.

Pada tahun 2025 pula, sekolah tersebut naik satu anak tangga kepada kedudukan nombor empat dengan mengumpulkan sebanyak lapan tan bahan kitar semula pada pertandingan yang sama.

Selain itu, sekolah ini juga turut berjaya mendapat johan pengumpulan kotak minuman terpakai anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) pada tahun 2025 dengan hasil dikumpulkan sebanyak 86 kg.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN