Sistem pengurusan latihan keguruan sudah mencukupi

Sistem pengurusan latihan guru sudah mencukupi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONGRES Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) bersetuju dan menyokong penuh terhadap kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam sebelum ini bahawa mekanisme perekodan latihan profesional keguruan sedia ada di bawah sistem Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adalah mencukupi, berfungsi dan tidak memerlukan pewujudan sistem tambahan seperti Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM).

KONGRES berpandangan bahawa pewujudan sistem baharu yang bertindih hanya akan meningkatkan beban perkeranian dalam kalangan warga guru, sedangkan fokus utama profesion perguruan seharusnya tertumpu kepada tugas teras iaitu mengajar, mendidik, membimbing serta membangunkan potensi murid secara menyeluruh, sama ada di dalam bilik darjah, di peringkat sekolah mahupun dalam komuniti pendidikan yang lebih luas.

KONGRES juga menyokong sepenuhnya pelaksanaan Professional Learning Community (PLC) sebagai satu pendekatan yang terbukti berkesan dalam meningkatkan kompetensi guru melalui budaya perbincangan profesional, kerjasama berpasukan serta analisis berfokus terhadap isu pembelajaran murid secara kolektif, berterusan dan berstruktur.

Sehubungan itu, KONGRES menyokong pandangan bahawa urusan perekodan kehadiran latihan, bengkel dan kursus wajar dilaksanakan sepenuhnya oleh urus setia penganjur, manakala latihan dan aktiviti pembangunan profesional di peringkat sekolah pula direkodkan oleh pihak pengurusan sekolah seperti pengetua, guru besar atau penolong kanan, tanpa meletakkan tanggungjawab tambahan yang membebankan guru.

Dalam masa yang sama, KONGRES menggesa agar pendekatan latihan profesional keguruan diperkemas dan ditambah baik, dengan penekanan kepada kualiti, keberkesanan serta kesesuaian kandungan latihan agar benar-benar memenuhi keperluan sebenar profesionalisme guru dan selari dengan realiti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Pendekatan seperti kumpulan penyelesaian masalah, lesson study serta kritikan video pengajaran diyakini mampu memperkukuh kemahiran pedagogi guru.

Pendekatan tersebut juga mampu meningkatkan refleksi profesional serta menjadikan sekolah benar-benar berfungsi sebagai institusi pembelajaran profesional yang mengutamakan pembangunan berterusan.

Akhirnya, KONGRES menaruh harapan agar tiada lagi sistem baharu diperkenalkan tanpa keperluan yang jelas, yang berpotensi membebankan warga guru.

 

Mohamad Zapawi Mamat
Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) merangkap Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES)

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN