KUALA LUMPUR: Sebarang kerjasama politik tidak boleh dilakukan tanpa hala tuju yang jelas dan tidak boleh dijadikan alasan untuk menggadaikan prinsip atau menghilangkan identiti parti.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi mengambil contoh ketidakstabilan negara sejak 2018 yang menyaksikan peralihan silih ganti Perdana Menteri ekoran percaturan politik dengan menarik sokongan kepada kerajaan.
Katanya, kerjasama politik tidak boleh dijadikan lesen untuk berkompromi terhadap asas perjuangan parti.
“Kerjasama politik merupakan realiti dalam landskap politik semasa, namun ia mesti berteraskan pendirian tegas serta strategi yang tuntas.
“Politik hari ini jarang bergerak secara bersendirian. Kerjasama dan gabungan kuasa adalah sebahagian daripada landskap politik negara. Tetapi menerima realiti tidak bermaksud kita hilang prinsip.
“Kita tidak boleh memasuki mana-mana kerjasama politik tanpa arah yang jelas, pendirian tegas dan strategi yang tuntas,” katanya dalam ucapan dasar Ketua Puteri UMNO semalam.
Puteri UMNO turut mempersoalkan keputusan UMNO yang dikatakan berterusan enggan mencalonkan wakil daripada sayap itu pada siri pilihan raya termasuk Pilihan Raya Umum (PRU).
Nurul Amal menyifatkan ia sebagai diskriminasi dan mempertikaikan sampai bila ketetapan itu akan terus diamalkan dalam parti berkenaan.
Katanya, meskipun komitmen itu berulang kali disebut, realitinya ia masih belum diterjemahkan dalam struktur dan keputusan parti.
“Saban tahun kita melaungkan soal penglibatan 30 peratus wanita dalam pentadbiran dan politik, tetapi hakikatnya perkara itu belum berlaku dalam parti kita.
“Mana calon Puteri? Sampai bila kami perlu meminta-minta? Mengapa kami didiskriminasi? Apa lagi yang kami belum beri kepada parti?.
“Apabila Puteri mahu diketengahkan, pelbagai syarat dikenakan. Namun apabila calon lelaki dipilih, kehilangan deposit pun tidak mengapa,” katanya dalam ucapan dasar Ketua Puteri UMNO semalam.
Nurul Amal berkata, UMNO pernah menjadi platform yang melahirkan pemimpin muda dan progresif, justeru persoalan timbul mengapa ruang sama tidak diberikan kepada wanita muda ketika ini.
“Jika dahulu UMNO mampu membawa pemimpin muda ke hadapan, mengapa tidak sekarang? Ini adalah era orang muda dan peluang perlu diberikan secara sama rata,” katanya.
Katanya, kegagalan memberi ruang kepada calon wanita muda sebenarnya mencerminkan penyimpangan daripada tradisi progresif UMNO. – UTUSAN










