55 akaun bank bernilai RM15.8 juta dibekukan

55 akaun bank bernilai RM15.8 juta dibekukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 55 akaun bank persendirian dan syarikat bernilai RM15.8 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan terhadap IJM Corporation berhubung dakwaan pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion.

Sumber berkata, siasatan menumpukan kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang disyaki telah diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram.

Katanya, setakat ini pasukan penyiasat telah membuat pemeriksaan dan penggeledahan di empat lokasi berasingan berlainan iaitu kediaman dan pejabat salah seorang pengurusan tertinggi IJM Corporation.

“SPRM turut membekukan 55 akaun bank persendirian serta akaun syarikat-syarikat yang berkaitan dengan jumlah keseluruhan dianggarkan kira-kira RM15.8 juta.

“Sehingga kini sebanyak sembilan rakaman percakapan telah diambil termasuk dua pengurusan tertinggi syarikat terbabit.

“Rakam percakapan dua pengurusan tertinggi syarikat terbabit disambung hari ini dan lima orang saksi lagi akan dipanggil untuk dirakam percakapan,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, siasatan terhadap syarikat itu melibatkan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan

Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Pada 19 Januari lalu, Bahagian Operasi Khas (BOK) telah menjalankan siasatan terhadap dua individu pengurusan tertinggi IJM Corporation.

Sebelum ini, Pejabat Penipuan Serius United Kingdom (SFO) (Serious Fraud Office) dilapor melancarkan siasatan terhadap dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan transaksi pelaburan bernilai berbilion ringgit yang dikaitkan dengan dua eksekutif berkenaan.

Ia dipercayai berlaku ketika Sunway Group sedang berusaha untuk mengambil alih IJM menerusi satu urus niaga bernilai RM11 bilion.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN