PUTRAJAYA: Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 perlu dilaksana secara menyeluruh hingga ke akar umbi supaya tidak dilihat sebagai rancangan yang hanya tertumpu di Putrajaya semata-mata.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelan tersebut mesti benar-benar memberi manfaat kepada anak-anak di seluruh negara termasuk di Sabah, Sarawak serta kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Rancangan ini bukan rancangan Putrajaya semata-mata. Ia harus sampai kepada anak-anak kita di Sarawak, harus sampai ke Sabah, harus sampai ke Jerlun, Ceruk Tok Kun, Nibong Tebal dan Pulau Pangkor. Rancangan ini harus sampai ke akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Forum Pendidikan Negara sempena Majlis Peluncuran Pelan Pendidikan Negara 2026-2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Fadhlina turut mengakui tahun 2025 merupakan tempoh yang sukar buat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), susulan pelbagai isu yang timbul termasuk kebimbangan ibu bapa terhadap aspek keselamatan anak-anak di sekolah.
Menurut beliau, situasi tersebut menuntut refleksi yang jujur dan mendalam bagi memastikan perancangan pendidikan negara diterajui dengan lebih konsisten dan berkesan.
“Satu lagi persoalan yang sentiasa ditanya, mengapa perlukan sebuah lagi rancangan sedangkan kalau perancangan itu ada tapi pelaksanaan ke ‘laut’? Ini juga persoalan yang kita harus jawab.
“Kita harus berlaku adil dalam membuat penilaian. Penilaian kita harus adil. Dalam konteks aspirasi retorik dan juga pelaksanaan, mesti ada perancangan dan perancangan itulah yang akan memandu kita melakukan perubahan-perubahan itu,” ujarnya.
Dalam hal itu, Fadhlina berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) merupakan nadi utama kepada kejayaan pelaksanaan pelan berkenaan.
“PPD dan JPN perlu turun ke lapangan untuk memastikan guru-guru terus disokong sepenuhnya dalam melaksanakan tugas mereka,” katanya. – UTUSAN










